Sergei Shoigu bekas Menteri Pertahanan Rusia dan pemimpin kepercayaan Presiden Vladimir Putin menemui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia itu dalam rangka kunjungan ke Asia Tenggara sebelum ini bertemu Presiden Indonesia Probowo Subianto.
Ketibaan Shoigu di bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu kira-kira pukul 10.15 pagi dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Setempat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Shoigu kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan mengenai isu keselamatan dan pertahanan.

Menerusi hantaran Facebook beliau, Anwar berkata perkara penting lain yang turut dibincangkan dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk perbankan, sains dan teknologi, keselamatan siber, jaringan perhubungan serta bidang latihan.
“Hari ini saya menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia Sergei Shoigu yang dalam lawatan kerja ke Malaysia,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata beliau turut berkongsi hasil pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Timur pada September 2024, satu platform penting untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama serta perkongsian strategik,” kata beliau.
Sebelum pulang, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Shoigu atas lawatan itu yang pastinya bakal membawa kepada kerjasama yang bermakna pada tahun-tahun mendatang.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Duta Besar Rusia ke Malaysia Nail Latypov.
Tahun lepas, Anwar mengadakan lawatan ke Rusia untuk menghadiri forum ekonomi dan berucap bersama-sama Presiden Putin.
Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (US$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (US$2.79 bilion) yang direkodkan pada 2022.-27/2/2025