Monday - 21, April 2025

Henti bahas titah adendum – Sultan Pahang

Share

Tidak perlu lagi membahaskan titah adendum kerana perkara itu kini berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.

Itu titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada semua pihak yang tidak berkaitan.

“Dalam soal titah adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah baginda pada Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Menurut baginda semua pihak perlu berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Dalam pada itu baginda, bertitah agar semua pihak tidak mempolitikkan keberangkatan baginda ke Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat kerana ia boleh memberi gambaran tidak baik kepada institusi Diraja.

“Saya datang semata-mata untuk bermunajat, menyembah kepada Allah, berdoa supaya kita, negeri Pahang, rakyat Pahang akan sentiasa diberkati, sentiasa dilindungi dan sentiasa dirahmati Allah.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya rakyat tidak membiarkan perbezaan fahaman dan kepentingan kecil memecahbelahkan masyarakat.

“Jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya hormatilah antara satu sama lain dan carilah titik persamaan demi kesejahteraan bersama.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua pihak agar perlu sentiasa bersangka baik. Janganlah kita terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kerajaan supaya menyantuni dan prihatin terhadap rakyat di samping pembangkang memainkan peranan membina serta memberi cadangan yang baik.

“Semua pihak, kerajaan, pembangkang dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita tidak benar yang akan melemahkan perpaduan serta menghakis nilai moral dalam masyarakat,” titah baginda.

Pada majlis itu, lebih 5,000 orang hadir.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba pada pukul 7.10 malam sebelum menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat, membaca Yasin dan kemudiannya menunaikan solat Isyak selepas menyampaikan titah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob.

Sultan Pahang bertitah, sebagai pemerintah negeri Pahang, baginda akan sentiasa bersama rakyat jelata.

”Saya sebagai Sultan Pahang akan sentiasa bersama-sama rakyat. Akan sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira sesiapa sahaja,” titahnya.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat negeri ini untuk sentiasa berpegang kepada ajaran As-Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, baginda turut menyeru agar rakyat negeri ini untuk terus menghormati warisan dan sejarah yang menjadi asas kepada jati diri selain menekankan perpaduan sebagai kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran negeri.-28/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru