Monday - 21, April 2025

Konsep kawal selia kendiri jadikan Majlis Media lebih berkesan

Share

Ramai yang tidak perasan dalam RUU Majlis Media Malaysia sebarang pertikaian yang berlaku dalam industri media akan dikendalikan dengan konsep kawal selia kendiri.

Dalam kata mudah, jika ada masalah contohnya tokoh A mendakwa ceritanya dilaporkan tidak benar, boleh membuat aduan kepada Majlis Media dan Majlis Media akan memanggil semua pihak yang terlibat sebelum membuat keputusan.

Jadi ia tidak melibatkan pihak berkuasa, ini yang dinamakan kawal selia kendiri yang antara lain membolehkan media di negara ini menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Bagi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata konsep kawal selia kendiri adalah indikator bahawa industri media di negara ini adalah sihat dan hak rakyat untuk bersuara juga tidak dikekang.

“Kita harap dengan adanya Majlis Media Malaysia ini, media secara umumnya akan dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan sekiranya timbul apa-apa isu (berkaitan), maka dalam kalangan media sendiri melalui majlis ini dapat menguruskannya secara kendiri,” katanya.

“Ia bermula dengan etika kewartawanan yang kita harap melalui majlis ini (MMM) diambil tindakan, kerana kalau kerajaan yang minta… ia seolah-olah kita mengekang.

“Kalau industri sendiri yang mengatakan kita patut sebagai industri bergerak ke arah standard kewartawanan, yang ditentukan oleh industri itu sendiri, saya nampak ini lebih mampan, lebih baik untuk kebebasan media di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau akan mengusahakan beberapa perkara berkaitan dan ia akan diumumkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijadualkan berlangsung Jun depan.

“Isu yang dihadapi sekarang oleh banyak syarikat media ialah isu keuntungan, kewangan iaitu isu syarikat perniagaan, jadi ini antara beberapa perkara yang akan saya susuli.

“Setelah rang undang-undang ini diluluskan di Dewan Rakyat, saya telah bertemu dengan Jawatankuasa Protem yang telah membantu menggubal rang undang-undang ini, dan juga pasukan Ketua Pengarang.

“Saya maklumkan kita sedang berusaha melaksanakan beberapa perkara yang kita harap dapat diumumkan sewaktu HAWANA Jun tahun ini… ia dapat memberi sokongan, bantuan kepada syarikat-syarikat media di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bagi Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) penubuhan Majlis Media merupakan satu pencapaian penting dalam kebebasan dan akauntabiliti media di negara ini.

Presiden FSJA Ronnie Teo berkata rang undang-undang yang akan membawa kepada penubuhan Majlis Media ini menjadi bukti usaha mereka yang percaya kepada peranan penting landskap media yang bebas dan adil.

“Majlis ini akan memastikan pengamal media mematuhi piawaian tertinggi dalam etika kewartawanan, sekali gus melindungi kepercayaan masyarakat dan integriti profesion ini,” katanya.-28/1/2025

Read more

khabar terbaru