Monday - 21, April 2025

KWSP bagi dividen 6.30 % …tertinggi sejak 2017

Share

Mereka yang ada simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tentu boleh tersenyum lebar.

Apa tidaknya… mereka terima dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2024.

Tahukah anda…kadar itu adalah tertinggi sejak tahun 2017.

Sebelum ini dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.

Sebagai rekod, kadar dividen bagi tahun 2023 untuk Simpanan Konvensional adalah 5.50 peratus manakala 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah.

Dividen bagi 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Shariah.

Dalam pada itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024 didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang berhemah.

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024 serta pelan strategik yang lebih luas di bawah Kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” ujarnya.

Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai esok, 2 Mac 2025 dengan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan, jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak RM63.05 bilion manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.23 bilion.

KWSP turut mencatatkan pertumbuhan keahlian yang kukuh sejajar dengan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh Malaysia.

Pendaftaran ahli baharu mencapai 475,752 menjadikan jumlah keseluruhan ahli KWSP sebanyak 16.22 juta.

Daripada jumlah itu, 8.78 juta adalah ahli aktif mewakili 51 peratus daripada 17.32 juta tenaga buruh Malaysia.

Nisbah ahli aktif kepada ahli tidak aktif pada tahun 2024 juga bertambah baik kepada 54:46.- 1/3/2025

Read more

khabar terbaru