Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sinar positif ekoran pengagihan kadar dividen 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau yang juga Menteri Kewangan kata pencapaian KWSP itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur.
Anwar menyuarakan pandangan itu dalam komentar menerusi laman Facebooknya.
Menurut Perdana Menteri, ia turut disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memanfaatkan rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
Beliau berkata, prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah, KWSP telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
Pengagihan dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2024 merupakan kadar tertinggi diumum KWSP sejak tahun 2017.
Sebagai rekod, kadar dividen bagi tahun 2023 untuk Simpanan Konvensional adalah 5.50 peratus manakala 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah.
Dividen bagi 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Shariah.
Dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.