Sunday - 20, April 2025

50,000 tapak bazar Ramadan seluruh negara, lebih RM5 bilion urus niaga

Share

“Marhaban ya Ramadan”. Pastinya setiap umat Islam rasa bersyukur dan teruja untuk menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Selain masjid menjadi pusat tumpuan umat Islam untuk iftar dan beribadah sepanjang bulan mulia ini, bazar Ramadan adalah antara lokasi wajib kunjung pada setiap petang bagi mencari juadah dan memenuhi tuntutan selera yang mengidam pelbagai menu untuk berbuka.

Sesuai dengan penduduk Malaysia yang ditaburi masyarakat berbilang kaum – selain setiap negeri mempunyai keunikan budaya dan keistimewaan tradisi tersendiri – maka variasi menu termasuk hidangan tradisional negeri mudah diperoleh di bazar Ramadan.

Lazimnya, antara menu paling laris dibeli di bazar Ramadan ialah air tebu, kuih tepung pelita, martabak, roti john, sate dan ayam percik.

Bagi anak muda, pilihan terarah kepada makanan moden dan hype (kegilaan) terkini seperti ayam Korea, oden, makanan berkeju dan ramen.

Tidak kurang juga bazar tertentu yang menjual menu eksotik seperti kerabu belangkas, arnab bakar dan kerabu nipah (dihasilkan daripada bunga pokok nipah), yang mempunyai kelompok penggemarnya tersendiri, terutama bagi masyarakat luar bandar dan yang sukakan hidangan selera kampung.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kajian Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi pada 2024 mendapati 22 juta umat Islam berbelanja hampir RM5.4 bilion di bazar Ramadan di serata Malaysia.

Ini menunjukkan kuasa membeli pengguna di Malaysia terutama umat Islam di bazar Ramadan amat tinggi.

untuk tahun ini dianggarkan lebih 50,000 tapak gerai bazar Ramadan dibuka di seluruh negara, menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa yang menarik dan enak untuk mereka yang tidak berkesempatan memasak di rumah, mahupun yang mencari pilihan menu yang berbeza untuk berbuka.

Bagi orang Lembah Klang mengongsi tiga bazar utama yang paling popular dan menggamit ramai pengunjung pada setiap Ramadan.

Malah, bazar Ramadan ini juga mampu memberi kepuasan kepada pengunjung bukan saja kerana jumlah peniaga yang ramai, tetapi juga pilihan menu yang pelbagai, enak dan menarik untuk dibeli.

Jika di tengah kota Kuala Lumpur, bazar Ramadan Kampung Baru antara yang paling sesak dengan pengunjung terutama pada waktu sibuk antara 5 hingga 7 petang, selepas tamat waktu pejabat.

Di bazar ini, pengunjung dapat menikmati pelbagai juadah yang sukar ditemukan di tempat lain kerana peniaga datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk perantau dari negeri pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan, malah sejauh utara dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Lokasinya yang berlatar belakang pemandangan mercu tanda KLCC dan terletak di kawasan mudah akses serta dikelilingi bangunan pejabat dan kediaman, membuatkan ia menjadi pilihan utama bagi mereka yang berada di kawasan sekitar, tidak terkecuali pelancong asing.

Namun, pengunjung yang berkereta perlu bersedia berdepan kesukaran mencari tempat letak kenderaan kerana bazar ini berhampiran jalan utama. Tetapi kelebihannya, ia terletak berhampiran Masjid Kampung Baru yang popular dengan agihan bubur lambuk percuma sepanjang Ramadan.

Jika pengunjung mencari menu nasi kerabu; kuih akok atau jala emas dari Kelantan, nasi dagang, keropok lekor dan kuih keramat dari Terengganu; nasi daging dari Kedah atau nasi kandar dan pasembor dari Pulau Pinang, di sinilah tempatnya.

Semantara itu, bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya, pula dikelilingi bangunan pentadbiran kerajaan, memudahkan kakitangan pejabat untuk membeli juadah berbuka.

Bazar ini banyak menempatkan peniaga popular dan tular seperti martabak Singapura; nasi mandy Chef Ammar; tongmo bakar; kunafa; mi tonggek dan kentang goreng panjang.

Lokasinya di padang lapang dengan kemudahan tempat letak kereta yang luas memudahkan orang ramai datang ke bazar Ramadan Putrajaya.

Bagi Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur pula ia agak popular sebagai pilihan artis, selebriti dan golongan elit Malaysia.

Lokasi bazar yang berhampiran dengan kediaman golongan kaya, bangunan pejabat serta pusat perniagaan menjadikan harga makanan di bazar ini seringkali dikatakan agak mahal berbanding di tempat lain. Tidak hairanlah bazar TTDI digelar ‘bazar kayangan’.

Namun, pilihan menu di bazar ini yang variasi dan berkualiti membuatkan pengunjung ‘lelap mata’ untuk membeli. Jika sedap, mahal sedikit pun tidak mengapa. Namun, pilihan tetap di tangan pengguna.

Antara makanan popular di bazar TTDI yang memerlukan pengunjung beratur panjang untuk membeli ialah menu Barat mac and cheese, karipap, nasi tomato, popia sira, ayam golek, aneka bubur dan kuih tepung pelita.

Pada 2025 ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor, menyuntik kelainan apabila buat kali pertama membenarkan operasi bazar Ramadan di kawasan seliaannya bermula lebih awal iaitu pada 27 Februari.

Langkah ini disambut baik peniaga yang melihatnya sebagai memudahkan mereka membuat persediaan dan menghebahkan jualan.

Jadi, jika anda datang ke Lembah Klang pada Ramadan ini, jangan lepaskan peluang ‘melawat’ bazar yang disenaraikan.

Apapun, elakkan membazir dan berpada-pada dalam membeli. Jangan terlalu ikutkan nafsu yang haus dan lapar.-3/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru