Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Ahad mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengesahkan ia sedang menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Katanya siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sehubungan dengan itu, bekas Perdana Menteri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
Pengisytiharan harta tersebut telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari 2025.
Serentak dengan itu kenyataan berkenaan memberitahu berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri tersebut.
Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai “safehouse”.
Menurutnya hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Katanya Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari 2025.
SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Suruhanjaya menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.
Sebelum ini Pada 23 Februari, sehari selepas Ismail Sabri dimasukkan ke hospital selepas rebah dan pengsan di rumahnya , dilaporkan empat pegawai yang dikaitkan dengannya direman.
Tiga daripada mereka ditahan selama lima hari bermula Jumaat, manakala individu keempat direman selama tiga hari dan dibebaskan pada 23 Feb.
Turut dilaporkan serbuan SPRM di kediaman salah seorang bekas kakitangan Ismail menemui lebih RM100 juta wang tunai dan barang berharga termasuk barang kemas yang disembunyikan dalam beg dan peti besi di beberapa bilik.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.- 2/3/2025