Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menyokong usaha kerajaan melaksanakan reformasi progresif menerusi pembentangan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 serta meluluskan RUU Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Kumpulan pelobi itu menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai langkah penting ke arah mengawal selia media secara kendiri, sekali gus memperkukuh kebebasan media dan akauntabiliti.
Bagaimanapun, G25 menekankan keperluan untuk memansuhkan undang-undang yang menyekat dan memastikan Majlis Media Malaysia (MMM) kekal bebas daripada pengaruh politik atau luar.
“Adalah penting kepada negara untuk kerajaan menyokong autonomi MMM dengan menjadikannya sebagai sebuah badan yang tidak berat sebelah.
“Hal ini akan membina kepercayaan serta menjadi lambang kerajaan yang menjunjung kebebasan akhbar dan integriti media,” menurut G25 sambil menambah bahawa langkah seumpama itu akan mengukuhkan reputasi Malaysia di persada antarabangsa dan memupuk masyarakat yang lebih bermaklumat.
G25 memperakui RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebagai langkah ke arah mengembalikan kerangka pentadbiran Parlimen yang bebas selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada 1992.
Menurut kenyataan itu, reformasi berkenaan penting untuk melindungi kebebasan Parlimen, sekali gus memperkukuh doktrin perlembagaan pemisahan kuasa serta sistem semak dan imbang.
Kumpulan itu turut meminta agar Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) mentakrifkan dengan jelas peranan wakil pembangkang dan ahli penyokong kerajaan, di samping memastikan keselamatan pekerjaan bagi pegawai parlimen untuk melindungi daripada campur tangan politik.
Selain itu, G25 turut menyuarakan kebimbangan terhadap Seksyen 11(1) RUU Perkhidmatan Parlimen, yang membenarkan pelantikan Ketua Pentadbir Parlimen daripada anggota perkhidmatan awam am.
G25 Malaysia ialah sebuah organisasi diri daripada bekas penjawat awam berpengaruh, diplomat, ahli akademik, dan profesional yang berdedikasi dalam memperjuangkan tadbir urus yang baik, demokrasi perlembagaan, dan pendekatan Islam yang sederhana.
Ahli kumpulan terbabit termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Asiah Abu Samah, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid serta bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin.-3/3/2025