Thursday - 10, April 2025

Malaysia hantar benih padi untuk simpanan bilik kebal kiamat

Share

Malaysia terlibat dengan usaha global untuk menyimpan lebih sejuta biji benih di tempat selamat bagi mengelakkan kepupusan akibat bencana.

Terbaru, Malaysia menerusi melalui agensi kerajaan MARDI telah menyumbang beberapa jenis biji benih kepada ‘bilik kebal kiamat’ atau Svalbard Global Seed Vault (SGSV).

SGSV adalah sebuah pusat penyimpanan benih global yang terletak di Pulau Spitsbergen, kepulauan Svalbard, Norway.

Ia dibina sebagai langkah keselamatan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan dunia jika berlaku bencana besar seperti perubahan iklim yang melampau, peperangan, atau wabak penyakit yang memusnahkan tanaman.

Menurut Facebook MARDI, agensi itu melalui inisiatif Projek BOLD (Biodiversity for Opportunities, Livelihoods and Development) dengan dana yang diperolehi dari CropTrust, telah mengenalpasti sumber genetik dari koleksi di MyGeneBank dan Bank Gen Padi Kebangsaan MARDI yang dikumpulkan sejak tahun 1977.

Tambahnya, antara benih yang dihantar termasuk varieti tradisional seperti padi, terung, dan kacang panjang.

“Sejumlah 725 aksesi tanaman telah diduplikasi di sana melalui dua penghantaran yang dilakukan pada bulan Mei dan Disember 2024.

“Pada 26 Februari lalu, pintu SGSV dibuka untuk pertama kali bagi tahun 2025 untuk mendepositkan benih dari Malaysia dan 20 negara yang lain,” kata MARDI.

SGSV dibuka pada tahun 2008 – Ia dibiayai oleh kerajaan Norway bersama beberapa organisasi antarabangsa seperti Global Crop Diversity Trust. Sehingga kini ia menyimpan lebih 1 juta sampel benih – Dari lebih 6,000 spesies tanaman, termasuk padi, gandum, jagung, dan kekacang.

Apa yang menariknya SGSV dibina dalam gunung ais – struktur ini terletak kira-kira 120 meter dalam perut gunung dan berada 130 meter di atas paras laut untuk melindunginya daripada banjir akibat pencairan ais di mana suhu kekal -18°C – Memastikan benih boleh bertahan selama beratus atau ribuan tahun.

Ia berfungsi sebagai ‘bank genetik’ dan negara-negara di seluruh dunia boleh menghantar dan menyimpan benih di sini sebagai sandaran kepada bank benih nasional mereka.

SGSV dianggap sebagai “bilik kebal” untuk masa depan pertanian dunia, memastikan generasi akan datang masih mempunyai bekalan benih untuk menanam makanan walaupun menghadapi krisis besar.

Kata MARDI lagi, usaha ini merupakan langkah penting dalam memastikan keterjaminan dan ketersediaan sumber genetik makanan sekiranya negara berhadapan dengan risiko bencana yang mengakibatkan kemusnahan kemudahan penyimpanan sumber genetik di negara ini.-3/3/2025

Read more

khabar terbaru