GAMBAR diatas adalah wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta yang disita dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa Baht, Riyal,Pound Sterling , Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan serta jongkong emas tulen itu disita hasil operasi penggeledahan oleh SPRM di ‘safehouse’ yang diurus oleh kalangan empat bekas pegawai kepada Perdana Menteri 9 itu yang ditahan baru baru ini.
Ia dipamerkan dalam sidang akhbar Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Putrajaya pada Isnin.
Kes berkenaan menjadi bertambah hangat bila Azam memberitahu bekas Perdana Menteri ke 9 itu kini merupakan suspek dan bukan saksi dalam siasatan siasatan SPRM berkenaan perbelanjaan kerajaan bagi kempen promosi “Keluarga Malaysia”
Azam berkata, “penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ berkenaan juga mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.
“Dalam hal ini yang tu saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).
“Keduanya, apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu.
“Ahli Parlimen Bera itu juga akan dipanggil sekali lagi bagi memberi keterangan Rabu ini,” katanya.
Pada sidang akhbar itu Azam juga memberitahu nilai rampasan ditemui pegawainya dalam kes itu melebihi daripada jumlah yang dinilai ketika ini.
“SPRM ketika ini masih belum menilai sejumlah barang kemas yang ditemui dalam serbuan di tiga premis termasuk ‘safehouse’ terbabit.
“Setakat ini jumlah yang kita nilai ialah RM177 juta membabitkan wang tunai pelbagai mata wang dan jongkong emas RM7 juta. Jongkong emas itu mengikut harga semasa bernilai RM424,000 sekilogram.
“Terdapat pelbagai barangan kemas yang juga ditemui dalam siasatan itu yang belum sempat dinilai pegawai penyiasat kerana mereka masih perlu melakukan tugasan lain seperti ambil keterangan dan periksa dokumen.
“Kita juga mengesan dana yang berkemungkinan disembunyikan termasuklah di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta milik individu termasuk suspek yang ditahan sebelum ini dibekukan pihaknya dalam siasatan kes terbabit .
“Kita masih belum membekukan lagi akaun Yayasan Keluarga Malaysia kerana ia bukan akaun individu dan akaun yang aktif manakala akaun Ismail Sabri sedang siasat.
“Kita juga akan meminta penjelasan daripada beliau (Ismail Sabri) untuk menerangkan mengenai semua akaun yang ada,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini pihaknya memerlukan rakaman percakapan tujuh ke lapan orang lagi untuk tindakan selanjutnya.
“Kita juga sudah merakamkan kenyataan beberapa orang kanan Ismail Sabri sewaktu beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri, antaranya Datuk Nazimah Hashim, yang juga belas Ketua Setiausaha Sulit (KSUS),” katanya.
Ditanya sama ada wang yang dirampas sebagai sebahagian aset diisytihar Ismail Sabri, Azam berkata, beliau belum mendapat melihat keseluruhannya.
“Saya tidak tengok lagi, itu terpulang kepada pegawai penyiasat, tapi itu akan menjadi antara soalan.
Ditanya berapa nilai aset yang diisytihar Ismail Sabri, Azam bagaimanapun memaklumkan masih belum ada maklumat lengkap berhubung perkara itu.
“Itu saya tidak ada detail, tak boleh kongsi lagi setakat ini kerana kita masih lagi peringkat penyiasatan, sehingga kita berpuashati dengan apa yang diisytihar itu, kita akan umumkan kemudian,” katanya.
Tambah beliau lagi, keputusan pihaknya mempertontonkan barang kes kepada media sebagai keterbukaan bagi menjawab banyak persoalan kerana banyak pihak yang bertanya selain kes itu sudah menjadi satu isu viral.
Sebelum ini, SPRM dilapor akan memanggil 10 lagi saksi dalam siasatan pengisytiharan harta berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.
Ia susulan penahanan empat individu termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri, manakala Ahli Parlimen Bera itu dipanggil SPRM minggu lalu. – 3/3/2025