Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan taklimat harian yang disiarkan secara langsung di platform media sosial, bukan pengganti kepada tugas jurucakap kerajaan yang peranannya dimainkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kedua-dua tugasan itu tidak bertindih, sebaliknya taklimat harian berperanan menjadi pelengkap dan mengukuhkan struktur komunikasi kerajaan.
Beliau berkata, taklimat harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, selain penjelasan beliau mengenai isu semasa yang mendesak serta arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun serta berkesan.
“PMO ingin menggunakan ruang ini untuk menjelaskan persoalan yang ditimbulkan membabitkan peranan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri dan adakah ia bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil? Jawapannya tidak.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan,” katanya melalui taklimat yang disiarkan secara langsung di platform media sosial, hari ini.
Taklimat harian PMO iaitu satu lagi pembaharuan dibawa Kerajaan MADANI bagi menjelaskan isu semasa, dasar penting serta perkembangan terkini kepada rakyat mula disiarkan pertama kali, semalam.
Taklimat disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata, peranan Fahmi selaku jurucakap Kerajaan MADANI bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang membabitkan dasar kerajaan, serta keputusan dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Dengan strategi komunikasi lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, selain mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan,” katanya.-3/3/2025