Sunday - 20, April 2025

Dua wakil pembangkang sertai Majlis Perkhidmatan Parlimen

Share

Kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen dianggotai dua senator dan empat Ahli Parlimen termasuk dua wakil pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan ini akan dibuat oleh jawatankuasa pemilih dan kelulusan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan memberi jaminan dan terus komited untuk membawa cadangan pindaan seterusnya dalam fasa kedua usaha reformasi pemerkasaan institusi Parlimen Malaysia.

“Penambahbaikan dalam fasa kedua ini akan melalui sesi libat urus dengan Ahli-ahli Parlimen dan pihak berkepentingan yang relevan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ia mengambil kira pandangan yang menyeluruh dan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dijangka memberi autonomi lebih besar kepada institusi Parlimen menerusi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP).

Majlis itu akan berperanan mengurus hal ehwal dalaman Parlimen, termasuk pentadbiran, kewangan serta dasar berkaitan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Johari berkata MPP sebagai sebuah “kabinet kecil” yang bertanggungjawab dalam pengurusan Parlimen.

“Majlis ini diketuai bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara serta dianggotai Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan, dua Ahli Dewan Negara, empat Ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Ketua Setiausaha Perkhidmatan Awam dan Ketua Pentadbir Parlimen sebagai anggota ex-officio,” katanya.

Johari menegaskan, setiap perbelanjaan MPP akan tertakluk kepada prosedur ketat serta pemantauan audit bagi memastikan ketelusan kewangan.

Selain itu, RUU tersebut akan memperkenalkan model hibrid di mana pegawai perkhidmatan awam mengurus sumber manusia, pentadbiran, dan kewangan, manakala pengurusan Dewan serta Jawatankuasa Pilihan dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen.

Langkah itu dijangka memastikan kelancaran operasi Parlimen, mengekalkan kepakaran perundangan, serta membuka peluang kerjaya yang lebih fleksibel dalam institusi tersebut.-4/3/2025

Read more

khabar terbaru