Sekalipun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat dengan dokongan dua pertiga namun ia ‘dicacatkan’ oleh 57 ahli parlimen pembangkang yang tidak mengundi.
Pindaan Rang Undang-undang itu mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga ketika undi belah bahagian dilakukan.
Seramai 17 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 57 wakil rakyat tidak mengundi.
Perdana Menteri juga menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan itu, telah mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.
Namun,katanya ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Anwar menyampaikan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang memberi dukungan penuh kepada Rang Undang-Undang itu.
Menurutnya pindaan itu menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara, serta membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas.
Beliau berkata pindaan itu juga menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara.
“Dengan dukungan penuh dua pertiga Ahli Parlimen, ternyata ia adalah bukti nyata betapa kukuh dan stabil Kerajaan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri,” katanya.
Dalam taklimat itu juga Tunku Nashrul memberitahu Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
Katanya dalam pertemuan itu, Anwar mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi OPS PANTAU 2025 termasuk memastikan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri mencukupi.
“Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sekiranya terdapat gangguan bekalan.
“Perdana Menteri turut menegaskan bahawa KPDN perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.
“Perdana Menteri juga mengarahkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar,” katanya lagi.
Selain, katanya Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
Pada masa sama, beliau juga kata Tunku Nashrul mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal.- 4/3/2025