Setakat 31 Januari 2025 lalu, didapati masih ramai rakyat negara yang tidak menuntut wang mereka berikutan rekod Wang Tak Dituntut (WTD) ketika ini telah mencapai RM12.7 bilion.
Jumlah ini secara jelas memaparkan peningkatan, di mana sekitar 70% jumlah WTD tersebut adalah didasari akan wang yang terdapat pada akaun bank yang tidak lagi aktif bagi tempoh tujuh tahun ke atas.
Tidak hanya jumlah wang ini juga antara lain turut merangkumi pembayaran seperti bonus, gaji dan dividen yang melibatkan akaun perdagangan antara syarikat serta pembekal.
Berikutan itu Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu menggesa individu mahupun waris yang berhak untuk mengemukakan permohonan tuntutan secara atas talian menerusi laman eGUMIS untuk semakan dan perolehan wang tersebut.
Katanya, kaedah semakan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) atau kaunter JANM.
Menurut MOF, JANM mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris, antaranya kempen kesedaran menerusi taklimat dan reruai yang dilaksanakan di program kerajaan dan swasta, seperti Program Madani Rakyat, hari terbuka dan hari pelanggan jabatan kerajaan serta di tempat awam.
“Ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan, sama ada mereka mempunyai wang yang masih belum dituntut.
“Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh Malaysia untuk memaklumkan orang ramai mengenai kewujudan WTD dan kaedah menuntutnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MOF menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai jumlah terkini WTD dan proses menuntut wang itu serta langkah diambil kerajaan untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris mereka.
JANM turut mengadakan taklimat secara dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah semakan dan tatacara permohonan tuntutan WTD.
Selain itu, turut dilaksanakan perluasan perkhidmatan Kaunter Semakan dan Bayaran Balik WTD dan hebahan berkala melalui saluran televisyen nasional.-5/3/2025