Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan.
RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, diluluskan melalui undi suara dengan lebih banyak sokongan.
Seramai 35 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum kelulusan RUU berkenaan.
RUU tersebut kemudiannya dibaca untuk kali ketiga, memperoleh undian majoriti di Dewan Rakyat, dan akan dibawa ke Dewan Negara.
Pada 24 Februari lalu, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Ia antara lain memperuntukkan penubuhan perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam.
RUU itu turut mengandungi peruntukan bagi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berperanan melantik serta menentukan terma dan syarat pelantikan anggota perkhidmatan Parlimen, memantau aspek kewangan berkaitan perkhidmatan Parlimen, serta membangunkan dan melaksanakan program serta latihan yang bersesuaian.
Melalui RUU berkenaan, kerajaan juga diwajibkan menyediakan dana mencukupi bagi perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk memastikan Majlis Perkhidmatan Parlimen dapat melaksanakan fungsinya dengan berkesan.-5/4/2025