Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan kompaun RM10,000 terhadap pelakon dan pelawak, Harith Iskander kerana memuatnaik kandungan dan komen jelik membabitkan agama Islam pada akaun Facebook pada 18 Januari lalu.
Turut dikenakan jumlah kompoun sama ialah seorang pengguna media sosial Cecelia Yap kerana buat komen jelik hal yang berkaitan.
MCMC dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk berbuat demikian kepada dua indvidu terbabit.
“Tindakan kompaun itu dikenakan ke atas Harith Iskander dan Cecelia Yap di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu,” katanya.
“Meta telah menurunkan kandungan tersebut dan permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.
“Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” katanya.
Harith Iskander didakwa memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50 manakala Cecelia didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’.
Dalam hantaran itu, pelawak selebriti tersebut menyatakan dia berasa keliru dan imannya tergugat kerana ia mengandungi perkataan ‘ham’.- 5/3/2025