Monday - 21, April 2025

Malaysia-Indonesia selesai secara damai insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu

Share

Ingat balik…kejadian cubaan menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas dengan parang di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Januari lalu.

Dua pendatang tanpa izin Indonesia terbunuh dan tiga lagi cedera ditembak.

Kejadian ini telah menegangkan hubungan Indonesia-Malaysia dan ia turut diwarnai oleh tunjuk perasaan depan Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Ada pihak tertentu mendesak siasatan terperinci keatas kejadian itu.

Namun dalam diam insiden ini telah berjaya diselesaikan secara damai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beritahu kesepakatan itu dicapai dalam rundingan dengan Jakarta, bulan lalu bagi memastikan hubungan diplomatik antara negara kekal terpelihara.

Berucap pada Majlis Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Pengamal Media, malam tadi Saifuddin kata bagi usaha meredakan ketegangan susulan insiden itu beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinator Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Kemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra.

Menurut Saifuddin, Malaysia berterus terang dengan Indonesia terhadap apa yang berlaku dalam insiden itu tanpa menyembunyikan sebarang fakta.

“Selepas pertemuan itu, suasana semakin reda kerana kita berterus-terang dan tidak menyembunyikan fakta.

“Anggota kita berdepan ancaman nyawa ketika menjalankan tugas tapi kalau berdepan masalah, pendirian kita adalah berterus-terang. Itu prinsipnya,” katanya.

Bukti juga menunjukkan bot suspek merempuh bot Maritim Malaysia dan pihak berkuasa menemukan dua bilah parang di atas bot tersebut.

Saifuddin menjelaskan insiden berkenaan adalah kes penyeludupan migran, ini bukan soal membabitkan pendatang asing tanpa izin yang biasa.

“Buktinya, tangkapan dan soal siasat setakat ini membawa kes itu kepada jenayah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007…ia jenayah serius,” katanya.- 5/3/2025

Read more

khabar terbaru