Monday - 21, April 2025

MCMC serah kertas siasatan kes ERA FM pada Pendakwaraya

Share

Kertas siasatan berhubung satu video yang didakwa mempersendakan agama Hindu, yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan Rabu malam memaklumkan pihaknya telah memanggil pengurusan tertinggi Astro bagi membantu siasatan isu tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.

Susulan isu yang sama, suruhanjaya itu berkata notis niat bagi menggantung lesen ERA FM turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio tersebut.

“Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini tular di media sosial tindakan penyampai radio milik Astro tersebut yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama Hindu.

Susulan itu, enam individu termasuk tiga penyampai radio ERA FM telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes video tular memaparkan tiga pengacara radio Era FM milik Astro didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan berhubung kes berkenaan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Beliau berkata enam individu dari stesen radio berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini bagi memberi keterangan.

Keenam-enam individu itu hadir kira-kira 10.30 pagi dan sesi keterangan berlangsung lebih dua jam dengan siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan sebanyak 44 laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan, setakat hari ini.

Bagaimanapun, tiga penyampai radio terkenal itu gagal ditemui pihak media kerana kenderaan yang membawa mereka tidak melalui kawasan tempat media menunggu.-6/3/2025

Read more

khabar terbaru