Monday - 21, April 2025

Malaysia cipta sejarah, jadi peneraju hab semikonduktor dunia

Share

Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi antara negara yang menerajui hab pengeluaran semikonduktor di peringkat dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selain pemasangan dan ujian, Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan pada 2024 juga mengutamakan reka bentuk cip serta peralatan pembuatan semikonduktor.

Ujarnya di bawah NSS juga, Malaysia sudah pun menjadi hab pembungkusan cip dan proses permulaan bagi mengembangkan peranannya di peringkat global rantaian semikonduktor.

“Malaysia catat satu lagi sejarah dalam dunia semikonduktor. Kerajaan menjadikan semikonduktor sebagai keutamaan negara dan menjadi sumber penting serta strategi jangka panjang untuk memacu transformasi ini.

“Hari ini, kerjasama Malaysia bersama syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari Britain, ARM Holdings Plc merupakan permulaan gelombang kedua industri semikonduktor,” katanya di Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Malaysia-Peneraju Global Semikonduktor Bagi Pembangunan Cip Al, di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Anwar lagi, melalui kerjasama bersama ARM Holdings juga, Malaysia berharap untuk merintis pembuatan cip (kecerdasan buatan) AI Malaysia.

“Cip ini akan direka, dikilangkan, diuji dan dipasang di Malaysia dan dijual ke seluruh dunia.

“ARM Holdings Plc juga menubuhkan pejabat Asean pertamanya di Kuala Lumpur. Saya berterima kasih atas kepercayaan pengurusan kanan ARM Holdings Plc terhadap negara kita,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata Malaysia akan membayar sebanyak AS$250 juta (RM1.12 bilion / $330 juta) kepada ARM Holdings Plc untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.

Malaysia juga dijangka menyasarkan eksport semikonduktor sebanyak RM1.2 trilion menjelang 2030 dan mempercepatkan matlamat menghasilkan cip sendiri dengan sokongan ARM Holdings Plc.

Dalam pada itu, Datuk Anwar sekali lagi mengingatkan seluruh ekosistem Malaysia untuk melakukan persiapan daripada segi latihan dan kemudahan supaya seiring dengan perubahan ke arah hab semikonduktor itu.

Beliau berkata seluruh jentera kerajaan Malaysia termasuk universiti, pusat pendidikan, institusi, agensi sains, harus dikerahkan bagi mempersiapkan golongan muda untuk memanfaatkan syarikat semikonduktor gergasi ini.

“Saya ambil kesempatan ini juga, untuk mengingatkan bahawa persiapan bukan sahaja daripada seluruh ekosistem, tetapi latihan, segala kemudahan yang mungkin harus dikerahkan untuk kita laksanakan perubahan ini.

“Apa yang kita tekankan adalah keperluan semua pihak harus digerakkan dan dikerahkan untuk pastikan anak-anak kita mempunyai latihan yang cukup daripada segi kelayakan, keterampilan, kemahiran dalam memanfaatkan syarikat semikonduktor gergasi seperti ARM Holdings Plc,” katanya.-6/3/2025

Read more

khabar terbaru