Pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap rokok elektronik atau ‘vape’ di sekolah boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan ‘vape’ di sekolah seperti ditetapkan menerusi peraturan sedia ada yang melarang penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau ‘vape’ di sekolah.
Beliau berkata tindakan tegas itu akan diambil selepas amaran diberikan kepada pelajar berkenaan, termasuk memanggil ibu bapa mereka bagi menghadiri sesi perundingan.
“Harus ada amaran dan mereka akan dipanggil, ibu bapanya juga untuk perundingan. Kemudian, dia kena lengkapkan borang janji untuk tidak melakukan kesalahan ini lagi.
“Kemudian, sekiranya mereka masih ingkar dan mengulangi perbuatan ini, maka dia boleh digantung sekolah selama 14 hari persekolahan yang tidak membabitkan peperiksaan awam dan ketegasan kita adalah sehingga tahap mereka juga boleh dibuang sekolah.

“Kita menganggap tindakan melibatkan diri dengan gejala ‘vape’ ini adalah satu yang sangat serius,” katanya menjawab soalan, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara padapada Rabu.
Fadhlina percaya usaha paling berkesan bagi mengawal penularan keburukan sosial itu adalah melalui pendidikan pencegahan seperti program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).
Menurutnya, program itu dilaksanakan melalui kurikulum dan kegiatan pembangunan sahsiah (keperibadian) pelajar, dan mereka didedahkan kepada bahaya rokok elektronik, serta dilatih untuk menjadi duta sahsiah bagi membantu rakan sebaya menjauhi gejala negatif.
“Selain PPDa, KPM juga melaksanakan beberapa lagi program dan kegiatan pendidikan pencegahan seperti, Program Skim Lencana Antidadah, Program Lima Minit Antirokok dan ‘Vape’, Skuad Junior Antidadah melalui Kelab PPDa serta Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan ‘Vape’.
“Semua program dan aktiviti ini bermatlamat untuk menerapkan nilai kesedaran serta kefahaman pelajar tentang bahaya rokok elektronik serta membentuk jati diri yang unggul,” katanya.-6/3/2025