UMNO Malaysia pada Khamis mengambil langkah untuk jarakan diri dari isu penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Parti itu menerusi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengeluarkan kenyataan rasmi menegaskan UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hal itu.
Ismail Sabri yang jadi Perdana Menteri dari 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022 pernah menjadi Naib Presiden UMNO dari 30 Jun 2018 hingga 18 Mac 2023.
Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu beliau kini adalah suspek dalam siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram ekoran penemuam berkenaan.
Dr Asyraf Wajdi menegaskan, parti itu memandang serius cubaan untuk mengaitkannya dengan siasatan SPRM.
“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, UMNO berpendirian bahawa SPRM perlu diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.
Dalam siasatan kes itu baru baru ini empat bekas pegawai kepada Ismail Sabri ditahan reman dan dibebaskan kemudian.
Semua wang tunai dan jongkong emas ditemui SPRM di sebuah kondominium yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu Perdana Menteri ke-9.
Wang tunai berjumlah RM 170 juta dengan pelbagai mata wang asing itu ditemui di tiga peti besi kediaman yang disewa itu.
Kebelakangan ini ekoran kehangatan siasatan kes berkenaan telah berlegar pelbagai spekulasi mengenainya.
Antara lain kononnya wang yang ditemui itu adalah lebihan dari dana parti untuk pilihanraya umum dan negeri yang lalu.- 6/3/2025