Monday - 21, April 2025

PM sedar ada usaha tanam persepsi kerajaan dwi-standard ambil tindakan isu hina agama

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar bahawa wujud usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan yang cuba menanam persepsi konon kerajaan bersikap dwi-standard dalam mengambil tindakan terhadap perbuatan menghina agama.

Serentak itu beliau memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak menggunakan kesempatan untuk membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman serta menanam bibit kebencian.

Bercakap dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada Khamis , Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah kata tuduhan dan persepsi kononnya Kerajaan MADANI mengambil sikap berdiam apabila agama Islam dihina disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.

“Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali,”katanya.

Untuk menafikan dakwaan berkenaan beliau memberi contoh mengenai tindakan yang telah diambil dalam kes berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stoking, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000.

“Seorang lelaki persenda perkataan ‘Allah’ didenda RM12,000 dan dipenjara enam bulan.

“Selain itu, peniaga jagung bakar yang meletakkan notis perkauman didenda RM400 manakala pelawak, Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, kesemua kes yang disenaraikannya itu jelas membuktikan bahawa ia telah disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara.

“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia.

“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” katanya.- 6/3/2025

Read more

khabar terbaru