Monday - 21, April 2025

Fahmi Fadzil kini bergelar Datuk…

Share

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat berkenaan kepada semua penerima di Balairung Seri, Istana Negara pagi Jumaat.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim yang mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.

Fahmi menyifatkan pengurniaan yang diterimanya hari ini sebagai suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya bersyukur dan menjunjung kasih atas perkenan Tuanku mengurniakan darjah kebesaran ini. Insya-Allah, ia akan memberikan lebih semangat kepada saya dan pasukan untuk terus berkhidmat serta berusaha meningkatkan produktivit kementerian,” katanya.

Antara penerima PMW yang lain adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid.

Selain itu, enam individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), empat individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Istiadat yang berlangsung kira-kira sejam itu, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan Jemaah Menteri serta dif-dif kehormat.-7/3/2025

Read more

khabar terbaru