Dana pelaburan Arab Saudi dilaporkan ingin melabur sekitar AS$100 juta pada syarikat penerbangan tempatan, AirAsia.
Dengan langkah ini, ia bukan sahaja akan membantu AirAsia dari segi pendanaan, tetapi juga akan mengukuhkan pelancongan antara rantau Asia Tenggara dan Arab Saudi.
Langkah ini juga selari dengan peralihan Arab Saudi dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara mereka kebelakangan ini.
AirAsia dikatakan sedang berbincang dengan beberapa pihak dalam proses meraih dana, termasuk dari Singapura dan juga Jepun.
Syarikat penerbangan tambang murah itu mahu meraih dana sekitar RM1 bilion, dan suntikan pelaburan daripada Arab Saudi mungkin menjadi antara yang terbesar.
AirAsia dikatakan menawarkan pegangan sehingga 15% pada nilai AS$2 bilion.
Mengikut laporan, pengumuman berkaitan suntikan pelaburan ini dijangka berlaku dalam beberapa minggu – sekiranya kesemua pihak bersetuju dan perbincangan berjalan lancar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, AirAsia mengumumkan akan memindahkan semula perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) – berkuat kuasa 7 April 2025 ini, iaitu setelah musim perayaan Aidilfitri.
Langkah ini setelah mengambil kira semua faktor selaras dengan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang yang dikira mengambil tempoh untuk kumpulan menambah sokongan penerbangan bagi memenuhi peningkatan perjalanan kalangan pengguna semasa.
Memahami pengumuman ini akan memberi kesan kepada pengguna, AirAsia memaklumkan penerbangan domestikan akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya bagi melengkapkan permintaan sedia ada.
– 7/3/2025