Monday - 21, April 2025

MH370 tidak pernah dilupakan… tanda tanya yang mesti dijawab

Share

Hari ini 8 Mac genap 11 tahun pesawat Malaysia Airlines MH370, ‘ghaib’ tanpa kesan pada 2014 setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Ini satu soalan maha besar yang satu dunia sedang tunggu jawapan.

Ibarat sebuah filem blockbuster layar lebar cari punya cari pesawat itu tidak dapat dikesan sehingga kini.

Bayangkan misteri ini belum terjawab ketika dunia serba maju sekarang ada pelbagai peralatan saintifik untuk pencarian.

Walaupun sebanyak mana teori konspirasi dan segala macam misteri yang menyelubungi kehilangan tersebut Malaysia menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi pencarian pesawat MH370 bersandarkan petunjuk berwibawa, sekali gus memberikan jawapan yang diperlukan keluarga mangsa.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.

Usaha pencarian pertama Ocean Infinity, yang bermula pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi juga berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil.

“Operasi ini akan dilaksanakan berdasarkan prinsip “no find, no fee,” yang bermaksud tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan usaha pencarian bersandarkan petunjuk yang berwibawa demi menjejaki lokasi terakhir MH370, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh waris keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu,

MOT sedar akan perhatian awam yang tinggi terhadap usaha pencarian ini dan sedang giat memuktamadkan perjanjian pencarian baharu, selaras dengan prosedur kerajaan Malaysia.

MOT berkata United States National Transportation Safety Board (NTSB) dan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) telah melantik wakil bertauliah bagi memberikan sokongan teknikal kepada misi ini.

“Kerajaan menghargai kerjasama erat dan bantuan daripada semua pihak yang terlibat dalam salah satu usaha pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan,” menurut kenyataan itu.

MOT berkata kerajaan menzahirkan simpati yang tidak terhingga kepada waris keluarga penumpang dan kru MH370.

“Meskipun masa terus berlalu, ia tidak mengurangkan rasa duka dan ketidakpastian kepada waris penumpang dan kru pesawat MH370. Usaha untuk mendapatkan jawapan masih diteruskan,” katanya.-8/3/2025

Read more

khabar terbaru