Bunyinya agak pelik.Ada sesiapa pernah dengar naratif UMNO nak kuasai DAP?
“DAP tidak pernah dikuasai UMNO semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.”
Bunyi ayat yang nampak cukup garang ini seolah nak usik semangat ahli DAP bukan dibuat mana mana ahli DAP tepi jalan tetapi bekas ‘orang kuat’ DAP tidak lain tidak bukan Pengerusi DAP,Lim Guan Eng.
Bekas Setiausaha Agung DAP,bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas Menteri Kewangan ini jolok hal itu pada majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sabtu malam.
Mereka yang rajin teropong senario DAP tentu mengaitkan majlis berkenaan dengan kempen untuk pemilihan DAP pada 16 Mac ini.
Al kisahnya pemilihan yang akan berlangsung seminggu lagi ini sangat mendebarkan kerana dikatakan menjadi penentu hidup mati karier politik Guan Eng.
Kalau selak sejarah parti itu semua orang tahu Guan Eng ‘cukup power’ semasa beliau pegang jawatan Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang dulu.
Namun keadaan kini sudah jauh berubah.
Dalam DAP jawatan nombor satu yang paling berkuasa ialah Setiausaha Agung.
Ia kini disandang oleh Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan.
Jawatan Pengerusi DAP yang Guan Eng sandang sekarang tidak ada sangat impak politik dan ada yang anggap ia cuma sebagai ‘penyeri majlis’ sahaja.
Bukan setback itu sahaja malah pusat kuasa Guan Eng di Pulau Pinang sudah terhakis teruk.
Beliau dikatakan tidak begitu ngam dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Dalam pada itu hubungan beliau dengan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baru sekarang, Steven Sim yakni Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Menteri Sumber Manusia juga dikatakan diselubungi oleh macam macam cerita.
Bukankah baru ini riuh kisah seorang pembantu Guan Eng menjerit di khalayak ramai dalam satu majlis dakwa Steven Sim sebagai ‘pengkhianat’.
Suasana tidak beres itu dikatakan ada kaitan dengan kegagalan usaha untuk tonjolkan adik Guan Eng yakni Lim Hui Ying yang kini Timbalan Menteri Kewangan sebagai orang nombor satu baru di Pulau Pinang untuk bakal ganti Chow Kon Yeow selepas pilihanraya nanti.
Steven Sim dianggap sudah ‘potong trip’ Lim Hui Ying.
Dicelah ini semua berlegarnya sentimen mahu agar DAP dikuasai oleh generasi baru.
Ia dipanaskan dengan usaha untuk padamkan dinasti politik dalam parti itu.
Dulunya arina politik DAP diselubungi oleh dinasti politik keluarga Lim yakni Lim Kit Siang dan dua anaknya Guan Eng dan adiknya Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Sebilangan orang lama seperti Ahli Parlimen DAP Cheras Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang sudah isytihar tidak mahu bertanding dalam pilihanraya akan datang sebagai menyahut seruan beri laluan kepada generasi baru.
Namun ada juga penyokong Guan Eng yang pertikai usaha untuk tolak ketepi bos mereka yang kini masih Ahli Parlimen Bagan.
Bagi mereka Guan Eng yang baru berusia 64 tahun masih muda,bertenaga dan mampu memimpin.
Satu hal lagi yang lebih membebankan bagi Guan Eng beliau kini berdepan dengan dakwaan rasuah dalam kes terowong bawah laut di mahkamah.
Dikira dari sudut percaturan politik kedudukan Guan Eng zahirnya nampak jelas amat tersepit.
Seperti biasa fokus pemilihan DAP ialah perebutan 30 anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).
Untuk pemilihan ini seramai 70 orang akan bertanding jawatan itu.
Guan Eng dikatakan sedang berhempas pulas untuk memastikan beliau berada dikalangan ‘top five’ terpilih ke jawatan CEC.
Dalam sistem DAP pemilihan jawatan sebagai Pengerusi DAP yang Guan Eng sandang sekarang dipilih dari kalangan mereka yang menang jawatan CEC.
Anggota CEC sendiri secara konsensus pilih Pengerusi DAP di kalangan salah seorang mereka.
Ada juga yang bawa mulut kononnya wujud usaha untuk pujuk Guan Eng tarik diri dari bertanding jawatan CEC.
Ikut ceritanya ini untuk elak beliau berdepan malu besar jika kalah terpilih salah seorang dari 30 anggota CEC.
Penyokongnya dikatakan meremehkan cakap cakap seumpama itu dan mendakwa bos mereka pasti lepas.
Apa sekalipun perkembangan…kalangan pemerhati menilai semua orang wajar pasang teropong pada pemilihan DAP 16 Mac ini yang akan belangsung di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam.
Bagi mereka suhu pemilihan ini sudah dapat diukur dari gerak langkah Guan Eng.
Apa lagi beliau secara terbuka jolok kisah DAP tidak akan dikuasai UMNO.
Guan Eng dipercayai jolok ayat itu sebagai reaksi pada kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi baru baru ini.
Siapa tahu mungkin Guan Eng terasa kurang enak bila Zahid dakwa bahawa era beliau telah berlalu dan gesanya memberi kepercayaan kepada pelapis untuk memimpin DAP.
Agar jelas…sebagai latar belakang kisah ini timbul gara gara reaksi Presiden UMNO itu terhadap kenyataan Guan Eng yang mengkritik UMNO kerana merancang (kemudian dibatalkan) menyertai perhimpunan bersama pembangkang bagi menunjukkan solidariti kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ia timbul menjelang perbicaraan isu adendum di Mahkamah Rayuan di Putrajaya baru ini.
Soalnya apakah komentar seringkas itu boleh ditafsir hingga UMNO hendak menguasai DAP?
Bukankah kemelut besar yang kini Guan Eng hadapi ialah urusan dalaman DAP.
Penentunya ialah ahli DAP sendiri.- OLEH HIEKAL ROSLI 9/3/2025