Wednesday - 12, March 2025

Hassan Karim kekal dengan keputusan tidak pertahan kerusi Parlimen Pasir Gudang

Share

Sekalipun beliau ahli parti PKR namun Hassan Abdul Karim dikenali umum di seluruh negara sebagai seorang Ahli Parlimen yang ‘bebas’.

Itulah istimewa sikit tentang Ahli Parlimen kawasan Pasir Gudang,Johor ini.

Berusia 73 beliau yang asalnya seorang peguam sentiasa bersikap berani menyuarakan pendirian dan pandangan dalam sebarang isu ‘without fear or favour’.

Namun selepas pilihanraya umum ke 16 nanti kita tidak akan melihat sosok wakil rakyat ini dalam sidang Dewan Rakyat lagi.

Berucap di perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Pasir Gudang, pada Ahad Hassan mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang yang dimenanginya sejak tahun 2018 pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

“Saya membuat keputusan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda bagi meneruskan perjuangan PKR.

“Saya mengambil keputusan ini kerana faktor usia dan ingin membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih segar dan bertenaga,” katanya.

“Saya telah membuat pengumuman secara terbuka bahawa tidak bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.

“Hari ini, saya mengulangi pengumuman bahawa saya juga tidak akan bertanding dalam PRU16 akan datang.

Hassan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang pada PRU-15 dalam pertembungan empat penjuru apabila memperoleh majoriti 31,558 undi.

Beliau menerima 71,233 undi sekali gus mengetepikan pencabarnya iaitu Mohamad Farid Abdul Razak mewakili Perikatan Nasional (PN); Noor Azleen Ambros (Barisan Nasional) dan calon Pejuang iaitu Mohammad Rafi Beran.

Hassan menguasai kerusi Parlimen Pasir Gudang daripada penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada PRU-14.

Sebelum itu, beliau turut pernah memenangi kerusi Parlimen Ledang pada 2013, Johor Bahru (2008), Pontian (2004) dan Tebrau (1999 dan 1986).- 9/3/2025

Read more

khabar terbaru