Ini perjelasan sebenar drama yang berlaku berkaitan peruntukan kepada pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan balas berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan, ruang perbincangan telah dibuka namun tiada sebarang cadangan balas diberikan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan syarat dikenakan ketat.
“Setakat ini saya tidak terima cadangan balas (daripada Muhyiddin), memang kita dah kemukakan dan sudah dipaparkan kepada media apa bentuk MoU terma-terma itu.
“Umum rakyat mengetahui, kalau kita tidak setuju, kita boleh kemukakan cadangan balas, tapi apa yang berlaku merka dah tolak bulat bulat,”jelasnya.
Tambah Fadillah, pembangkang seharusnya menggunakan ruang perbincangan yang ada untuk mengadakan rundingan berhubung MoU itu.
“Mengatakan benda ini terlalu ketat, bagi saya permulaan kita boleh berunding, kita kemukakan cadangan balas.
“Kalau dapat diselesaikan kita selesaikan, ingat dulu waktu saya dalam kerajaan waktu Muhyiddin memang ada perundingan dengan pembangkang dengan syarat-syarat, akhirnya apabila dipersetujui ditandatangan MOU dan sebagainya,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu yang menjelaskan PN menolak MoU tersebut kerana syarat yang ditetapkan kerajaan.
Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berkata ruang untuk perbincangan antara kerajaan dan pembangkang mengenai isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sentiasa terbuka.
Menurutnya sebarang isu berbangkit turut boleh diutarakan menerusi mesyuarat, dan draf MoU peruntukan pembangkang juga boleh dipinda jika perlu.
“Saya dahulu lima mesyuarat semasa jadi pembangkang. Mesyuaratlah dahulu, draf boleh dipinda. Ini hendak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu,” katanya.
Anwar mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa parti itu mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Muhyiddin mendakwa syarat yang ditetapkan dalam MoU berkenaan adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.-10/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK