Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meminta rakyat tidak mudah terpengaruh dakwaan dan fitnah yang dimainkan pihak tertentu untuk mencetuskan kegelisahan dikalangan masyarakat.
Antaranya beliau menepis dakwaan pihak yang masih memainkan isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB) yang akan dibentangkan di Parlimen.
Katanya undang-undang berkenaan tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir dan tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan
“Justeru, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utama ialah bagi memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memberitahu demikian dalam sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Perdana Menteri juga menyentuh mengenai isu yang tular dakwa timbul tekanan keatas pengunaan pembesar suara untuk laungan azan di sebuah masjid.
Beliau tidak menyebut tempat ia berlaku namun media melaporkan ada individu membuat hantaran di media sosial konon berlaku di Masjid Bestari Kampung Ayer Kuning di Taiping.
Namun pengurusan masjid telah menjelaskan situasi laungan azan tidak didengari ahli kariah itu bukan berpunca daripada tekanan mana-mana pihak sebaliknya masalah teknikal sistem pembesar suara.
Anwar mengingatkan supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak ada asas sama sekali.
“Naratif seperti ini juga akan muncul setiap kali tibanya musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri juga mengeluarkan arahan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri bagi memberi bantuan berterusan kepada rakyat yang terkesan.
Arahan itu susulan banjir yang mula melanda di beberapa negeri.
Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar memberi perhatian khusus kepada situasi banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini.
“NADMA juga diminta bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi penyaluran bantuan kepad aketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang terlibat,” katanya.
Setakat petang ini, portal Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan lebih 4,000 mangsa banjir daripada 1,494 keluarga di Sabah dan Sarawak dipindahkan melibatkan 26 pusat penempatan sementara (PPS) bagi enam daerah.- 10/3/2025