Wednesday - 12, March 2025

Lebih 10,000 berbuka puasa bersama PM Anwar di Masjid Besi Putrajaya

Share

Lebih 10,000 orang memeriahkan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada Isnin.

Anwar yang tiba di pekarangan masjid kira-kira 7 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Majlis yang bermula 5.30 petang itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan 13 agensi hal ehwal agama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri, program berkenaan menjadi wadah terbaik untuk menyantuni golongan ilmuwan dan agamawan, masyarakat dan golongan asnaf di Ramadan, secara tidak langsung memupuk perasaan muhibah antara satu sama lain.

“Penganjuran program seperti ini adalah manifestasi nyata daripada ajaran Islam, yang mendorong umatnya untuk hidup dalam suasana penuh kasih sayang, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru muda bersama hadirin hadir pada ceramah khas bertemakan ‘Ramadan Pemacu Ummah Madani’ yang disampaikan Datuk Badlishah Alauddin.

Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani.

Anwar selepas itu solat Maghrib bersama-sama para hadirin.

Pada majlis itu, Mohd Na’im menyampaikan sumbangan kepada 120 asnaf dari Bukit Bakong, Sepang.

Mohd Na’im berkata program berbuka puasa itu bukan sekadar peluang untuk berkumpul beramai-ramai tetapi menjadi platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhwah, memupuk rasa kasih sayang dan menjalin hubungan lebih erat antara rakyat dan kerajaan.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud.-11/3/2025

Read more

khabar terbaru