Wednesday - 12, March 2025

MCMC kompaun Era FM RM250,000… lesen tidak digantung

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan tidak akan menggantung lesen pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd, berhubung kandungan jelik berkaitan acara keagamaan melibatkan tiga penyampainya baru-baru ini.

Sebaliknya, Maestra Broadcast dikenakan kompaun RM250,000, menurut kenyataan MCMC.

“MCMC telah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd berhubung notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac 2025.

“Setelah meneliti hujah rayuan tersebut, keputusan dibuat untuk tidak menggantung lesen syarikat itu.

“Pertimbangan turut diberikan terhadap tindakan susulan yang diambil oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” jelas MCMC dalam satu kenyataan media.

Kompaun dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

MCMC turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sehubungan itu, semua pengendali dan pengguna platform diminta bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum serta mematuhi undang-undang negara.

Rabu lalu, penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin termasuk tiga kakitangan stesen radio terbabit selesai memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.

Tiga penyampai terbabit diambil keterangan membabitkan siasatan dakwaan mempersenda upacara agama Hindu

Siasatan ke atas tiga penyampai itu dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-11/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru