Timbul polimek mengapa Maestra Broadcast Sdn Bhd (MBSB),syarikat pengendali Radio Era didenda oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) RM250,000 dalam kes tiga DJ didakwa hina agama lain sedangkan Harith Iskander,Cecilia Yap kena RM10,000 manakala KK Mart RM60,000.
Ada yang persoal kenapa yang libatkan orang Islam jumlah denda banyak sebaliknya bukan Islam sedikit.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah tampil beri penjelasan agar tidak timbul salah faham dan kekeliruan mengenai tindakan yang diambil atas kesalahan seumpama itu.
Beliau ditemui wartawan selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri, di Kuala Lumpur awal malam Selasa.

Pada majlis itu Fahmi juga berbual dengan tiga DJ Era yang berkenaan iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir yang terlibat dalam insiden tarian yang cetus kemarahan masyarakat India.
Tiga DJ berkenaan juga bersua dan berbual seketika dengan Anwar di situ.
Fahmi menjelaskan faktor utama dalam perbezaan jumlah kompaun adalah status entiti yang terlibat.
“MBSB adalah sebuah syarikat berpendapatan tinggi dan pemegang lesen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala Harith Iskander dan Cecilia Yap adalah individu.
“Sebagai pemegang lesen, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh syarikat tersebut. Malangnya, mereka membenarkan satu kandungan yang mencetuskan kegusaran umum dimuat naik dalam akaun rasmi TikTok salah satu radio mereka.
“Oleh itu, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap MBSB tidak boleh dibandingkan secara langsung,” katanya.
Menurut Fahmi, dalam kes KK Mart yang dikenakan denda RM60,000 di bawah Kanun Keseksaan juga berbeza kerana ia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pelanggaran peraturan pemegang lesen MCMC.
Dalam isu yang membabitkan DJ Era, Fahmi menegaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Saya ada bercakap dengan mereka kerana saya mendapati ada tekanan besar yang mereka hadapi.
Sementara itu, Fahmi menyatakan beberapa individu yang terlibat dalam kontroversi ini telah memohon maaf, termasuk seorang individu yang kini dipercayai berada di Australia.
“Kita perlu mengambil pengajaran dan melangkah ke hadapan dalam suasana yang lebih positif, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” tambahnya.
Berkenaan tempoh siasatan yang dijalankan oleh MCMC terhadap individu yang didakwa memuat naik semula kandungan yang telah dipadam, Fahmi menyatakan bahawa ia bergantung kepada hasil siasatan.
“Kadang-kadang agak cepat, kadang-kadang agak lama,” katanya.
Sementara itu ketika bersua dengan Perdana Menteri beliau menasihatkan tiga penyampai radio Era untuk menyebarkan mesej perpaduan dan fokus kepada Ramadan.
Nabil berkata, ketiga-tiga mereka amat berbesar hati dengan nasihat dan harapan yang disampaikan Perdana Menteri itu, dan bertekad untuk merealisasikan harapan tersebut.
“Kita ucap terima kasih banyak pada Datuk Seri Perdana Menteri kerana kesudian menjemput kami bertiga, dan bos kami (Priya Dharshini Prabakaran), untuk sama-sama berbuka puasa.
“Kedua, beliau juga minta kami untuk sampaikan mesej perpaduan, perbanyakkan mesej, kita hidup dalam negara harmoni, pelbagai kaum, majmuk,” katanya. – 11/3/2025