Thursday - 13, March 2025

Ketua Polis dakwa isu 3R boleh diperalatkan untuk musnahkan negara…

Share

Isu 3R iaitu raja, agama dan kaum boleh diumpamakan sebagai ‘strategi perang baharu’ yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata isu 3R yang mempunyai niat jahat jelas boleh diperalatkan untuk menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.

“Isu sebegini boleh menggugat keamanan negara, ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Bagi mengelak perkara seumpama itu tidak berlaku, orang ramai perlulah bersikap lebih matang serta tidak terlalu mengikut emosi,” katanya.

Razarudin berkata, masyarakat wajar menapis semua maklumat, berita atau video yang dikongsikan di media sosial serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum sahih.

“Elak menulis status, komen, ciapan, siaran gambar, poster atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosial budaya dan sensitiviti kaum kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak senang, terhina atau tersinggung.

“Konsep 3R iaitu ‘Research’ (penyelidikan), ‘Responsibility’ (bertanggungjawab) dan ‘Report’ (lapor) wajar menjadi teras dan perlu sentiasa dibudayakan sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sikap saling hormat-menghormati dan sayangkan keamanan perlu disematkan serta jangan mudah terpengaruh agenda pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan siasatan ke atas 31 kes membabitkan isu 3R sepanjang tahun ini.

Katanya, daripada angka keseluruhan kes direkodkan itu, 17 daripadanya adalah kes 3R yang membabitkan institusi diraja.

“Selebihnya 12 kes berkaitan dengan isu agama, manakala dua lagi kes berkaitan isu perkauman.

“Keseluruhan 31 kes 3R disiasat PDRM pada tahun ini dan setakat ini, belum ada pertuduhan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) membabitkan mana-mana kes berkenaan,” katanya.-12/3/2025

Read more

khabar terbaru