Friday - 14, March 2025

Dilema Anwar untuk suntik RM1.1 billion pada Sapura Energy…

Share

Kalau tahu kisah latar belakangnya maka tidak menghairankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan kritikan ‘keliling pinggang’ gara gara keputusan kerajaan suntik dana RM1.1 billion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) yang dibelenggu hutang.

Anwar mengakui keputusan untuk menyuntik dana sebesar itu tidak mudah kerana beliau sendiri menjadi penentang kuat sebarang langkah menggunakan wang negara bagi menyelamatkan sesebuah syarikat.

Katanya pendirian tegas itu boleh dilihat pada 1997 dan 1998 apabila beliau menentang langkah menyelamatkan sebuah syarikat perkapalan “yang melibatkan anak PM”.

Beliau dipercayai merujuk kepada isu Konsortium Perkapalan Berhad yang ketika itu diterajui oleh Mirzan Mahathir.

Isu ini antara yang cetus pergeseran antara Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam himpunan Kementerian Kewangan di Putrajaya Khamis Anwar kata ketika itu kerajaan menyelamatkan individu tertentu yang didakwanya hidup mewah dengan dilengkapi segala kemudahan namun tidak cekap menguruskan syarikat sehingga ia menyebabkan kerugian besar.

Namun dalam isu SEB keadaannya adalah berbeza.

Perdana Menteri menjelaskan suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada SEB adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang sekian lama tidak menerima bayaran.

Menurutnya suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion itu juga untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor perusahaan kecil sederhana (PKS) minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat Bumiputera.

Katanya, suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.

“Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.

“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya,

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.

Selanjutnya, kata beliau, dapatan due diligence itu akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.

“Kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.

“Suntikan Kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem O&G yang strategik untuk ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri membidas pihak yang mengkritik langkah kerajaan memberikan suntikan tunai RM1.1 bilion kepada SEB.

Katanya pembiayaan itu hanya akan digunakan secara eksklusif untuk membayar balik vendor.
|
Perdana Menteri berkata, jika tidak berbuat demikian beliau akan tetap dikecam atas alasan yang lain pula.

“Daripada kira-kira 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah bumiputera yang telah menyumbang (kepada SEB). Bagaimana mereka (vendor) boleh dihukum?

“Kalau saya tak tolong, (dituduh) Anwar khianat (sebab) dia bukan lagi bantuan perjuangkan nasib bumiputera, dia hanya jadi jurucakap DAP.

“Kalau kita buat, dia kata: oh ini kita bantu (syarikat terbabit).

“Saya tak bantu selamatkan tauke-tauke kaya. Wang itu setiap sen terus (dibayar) kepada vendor yang telah bekerja (untuk Sapura Energy) dan tidak dapat bayaran,” katanya.

Anwar juga menambah, suntikan dana yang diberi kerajaan melalui syarikat tujuan khas itu bukanlah berbentuk ‘hangus’ sebaliknya perlu dibayar semula oleh Sapura Energy.

Anwar juga mendakwa pengkritiknya menyebarkan pembohongan walaupun semasa Ramadan apabila mendakwa mereka kurang maklumat dan pada masa sama enggan mencari fakta.

Mengakui kerajaan sedar isu yang melanda Sapura Energy, Anwar menambah, langkah mengabaikan syarikat itu sekarang adalah seolah-olah menghukum para vendor terbabit sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pada masa sama beliau menegaskan, langkah membiarkan Sapura Energy gulung tikar akan membuat negara bergantung kepada syarikat asing.

“Sekiranya (Sapura Energy) ditutup, tidak akan ada syarikat (tempatan) untuk beroperasi dalam sektor hiliran – semuanya adalah syarikat asing,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas ucapan itu, Anwar berkata, dalam penstrukturan semula yang dijalankan, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB dan pasukan pengurusan baru yang profesional sudah ditempatkan.

Walaupun tidak dinamakan, pemegang saham utama dalam syarikat itu ialah bekas ketua pegawai eksekutifnya, Shahril Shamsuddin – yang bersara pada 2021.

Abangnya, Shahriman Shamsuddin masih menganggotai lembaga pengarah.

Tambah Anwar kerajaan kemudian menggunakan khidmat firma juruaudit luar, Ernst & Young, untuk meneliti keadaan syarikat berkenaan.

“Semua peraturan dijalankan secara telus sebelum kerajaan membuat keputusan ini (menyuntik RM1.1 bilion),” kata Anwar. – 13/3/2025

Read more

khabar terbaru