Friday - 14, March 2025

MCMC siasat lelaki dakwa laungan azan di masjid tidak lagi dibenarkan

Share

Seorang lelaki yang disyaki memuat naik kandungan palsu dakwa laungan azan di Masjid Ayer Kuning,Taiping tidak lagi dibenarkan ketika ini sedang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC.

Satu kenyataan MCMC pada Khamis memberitahu lelaki berkenaan yang berusia 47 tahun dipercayai dimuat naik kandungan itu melalui akaun Facebooknya miliknya pada 9 Mac lalu.

Lelaki itu mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini.

“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut dijalankan di Balai Polis Taiping semalam. Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM disita bagi tujuan analisis forensik,” kata kenyataan MCMC itu.

Terdahulu, pasukan penguat kuasa MCMC menyerahkan satu notis kehadiran di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum juga agama di negara ini.

Sebelum ini media melaporkan pengurusan Masjid Air Kuning jelaskan hal berkenaan berbangkit kerana masalah teknikal pada sistem pembesar suara masjid dan bukan kerana tekanan pihak tertentu.- 13/3/2025

Read more

khabar terbaru