Selepas enam jam disoal siasat, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
Difahamkan Ahli Parlimen Bera itu dijangka kembali bagi menyambung sesi memberi keterangan kepada SPRM pada Isnin.
Terdahulu, Ismail hadir bagi dirakam keterangan berhubung kes itu pada 8.46 pagi tadi, sebelum keluar pada 12.30 tengah hari untuk solat Jumaat, dan kembali semula di Ibu Pejabat SPRM pada 3.25 petang bagi menyambung sesi.
Pada Khamis Ismail Sabri hadir dan mula memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan, dengan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.-14/3/2025
Hari kedua SPRM jadi tumpuan dengan kehadiran Ismail Sabri…
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjadi tumpuan media hari ini bagi perkembangan kes rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Seawal jam 8 pagi, petugas media mula kelihatan berada di perkarangan pintu masuk ibu pejabat SPRM sebagai persediaan menantikan ketibaan bekas Perdana Menteri itu.
Sebentar tadi, kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Bera itu tibajam 8.46 pagi bagi meneruskan sesi keterangan beliau memasuki kali ke-3.
Semalam, sesi keterangan berlangsung selama lima jam sebelum kenderaan membawa bekas Perdana Menteri itu meninggalkan ibu pejabat SPRM sekitar jam 3.15 petang.
Siasatan terhadap beliau susulan penemuan wang tunai pelbagai mata wang asing serta jongkong emas yang keseluruhannya bernilai RM177 juta yang dirampas pihak SPRM.
Rampasan itu dibuat menerusi siri serbuan di tiga premis berasingan termasuk sebuah kondo yang dikategorikan sebagai ‘safe house’.
Ia juga dikatakan mempunyai kaitan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sewaktu beliau memegang tampuk kepimpinan kerajaan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Datuk Seri Ismail telah dianggap sebagai suspek selepas beberapa saksi telah dipanggil termasuk beliau sendiri.
SPRM ketika ini sedang menganalisa beberapa dokumen penting yang terkait dengan projek ‘Keluarga Malaysia’ berjumlah RM700 juta.-14/3/2025