Saturday - 15, March 2025

Lebih 60,000 pekerja Indonesia diberhentikan dalam masa dua bulan…

Share

Orang kata dalam ilmu ekonomi makna ‘kemelesetan’ adalah apabila jiran kita hilang kerja, dan makna ‘krisis’ apabila kita sendiri hilang kerja… mungkin ada yang kita boleh belajar daripada negara jiran kita Indonesia yang tiba-tiba berdepan krisis pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Tak ada angin, tak ada ribut… sejak Prabowo Subianto angkat sumpah jadi Presiden ke lapan negara itu, macam-macam ujian yang beliau hadapi.

Bayangkan sahaja, untuk dua bulan tahun ini, lebih 50 syarikat telah memberhentikan lebih 60,000 pekerja di Indonesiaberdasarkan data Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI).

Presiden KSPI Said Iqbal berkata hasil penyelidikannya menunjukkan bahawa 30 peratus daripada syarikat itu, termasuk firma tekstil terkenal Sritex telah muflis, menekankan betapa meluasnya masalah itu.

Beliau menyatakan bahawa pemberhentian kerja terutamanya melanda industri seperti tekstil, pakaian, kasut, elektronik dan automotif serta sektor berintensif buruh yang lain.

“Lebih 60,000 orang telah kehilangan pekerjaan, dan jumlah ini dijangka mencecah ratusan ribu dalam beberapa bulan akan datang. Krisis pemberhentian kerja ini sangat serius,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Lebih 21,000 pekerja telah diberhentikan di syarikat termasuk PT Karya Mitra Budi Sentosa yang telah memberhentikan 10,000 pekerja, serta PT Danbi Internasional, PT New Era dan PT Yihong Novatex, masing-masing memberhentikan 2,000 pekerja.

Syarikat-syarikat lain seperti PT Aditec Cakrawityata, PT Duta Cepat Pakar Perkasa dan PT Dupantex juga telah melakukan pengurangan tenaga kerja yang ketara dengan jumlah pekerja terjejas antara 500 hingga 1,500 orang.

Said menegaskan keperluan mendesak bagi kerajaan, terutamanya Kementerian Tenaga Kerja untuk mengambil tindakan serius bagi menangani krisis itu, termasuk menubuhkan pasukan petugas pemberhentian kerja.

“Dengan campur tangan kerajaan, diharapkan gelombang pemberhentian kerja ini dapat dicegah dan dikawal untuk baki tahun 2025,” tambahnya.-14/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru