Sunday - 20, April 2025

Mampukah Guan Eng redah ranjau dan duri terus kibar bendera dinasti Kit Siang pada pemilihan DAP Ahad ini?

Share

Dengar cerita segala macam gerak langkah, sepak terajang dan strategi untuk raih undi pada minit terakhir sedang berlegar menjelang pemilihan DAP yang akan berlangsung di IDCC Shah Alam esok,Ahad 16 Mac.

Seorang ahli veteran parti itu mengakui seingat dia selama ini suasana menjelang pemilihan dalaman parti itu tidaklah gegar gempita seperti sekarang.

Dia menilai situasi jadi begitu kerana pemilihan ini adalah penentu survival politik dinasti Tan Sri Lim Kit Siang yang sebelum ini sekian lama menjadi penentu arah parti itu.

Mampukah anaknya,Lim Guan Eng yang kini ibarat kuda patah kaki pertahan jawatan sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan mengharungi badai pemilihan ini.

Selain Guan Eng ,bendera keluarga Kit Siang juga dikibarkan oleh adiknya Lim Hui Ying yang kini Timbalan Menteri Kewangan.

Jawatan Pengerusi DAP sebenarnya dianggap cuma sebagai jawatan ‘ceremonial’ yang tiada kuasa politik dalam parti.

Nama dan batang tubuh bapa mereka sekian lama cukup sinonim dengan DAP.

Dulunya DAP adalah Kit Siang dan Kit Siang adalah DAP.

Jangan lupa Guan Eng sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini pernah digelar ‘tokong’ gara gara cukup berkuasa sebagai Setiausaha Agung DAP selama tiga penggal.

Guan Eng yang dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 2004 tidak boleh dipilih semula bagi mengisi jawatan itu selepas pindaan Perlembagaan parti hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tiga penggal.

Kini orang yang paling berkuasa dalam DAP ialah Anthony Loke yakni Menteri Pengangkutan yang sandang jawatan Setiausaha Agung.

Bagi Guan Eng nampaknya jawatan Pengerusi DAP menjadi benteng terakhir baginya untuk kekal relevan dalam DAP.

Untuk membolehkannya dipilih semula ke jawatan itu Guan Eng dikatakan perlu menang ‘top five’ dari 30 jawatan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan ditandingi oleh 70 calon.

Mereka yang menang jawatan CEC secara konsensus akan memilih penyandang jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan.

Isunya sekarang pemilihan jawatan CEC ini menjadi duri dan ranjau bagi Guan Eng.

Gegar gempita dalam DAP khususnya di Pulau Pinang menunjukkan seolah wujud Team A dan Team B untuk pemilihan ini.

Team A dikatakan terdiri dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Mereka dikatakan didokong oleh golongan muda dan generasi baru dalam DAP yang dikatakan tidak gemar pada kewujudan dinasti keluarga menguasai parti.

Team B pula Guan Eng dan golongan generasi lama yang dulunya merupakan penyokong kuat Kit Siang.

Sumber dalaman DAP mendakwa jika perkiraan dibuat diatas kertas nyata team Guan Eng terpaksa melalui laluan yang sukar.

Bagaimanapun ikut cakap mereka dalam politik tidak ada yang mustahil.

Pulau Pinang kebelakangan ini menjadi petunjuk pergeseran dalaman DAP kerana diketahui umum adanya perang dingin antara Guan Eng dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Steven Sim terpilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang baru dalam pemilihan lalu dan disebut sebut sebagai bakal Ketua Menteri ganti Kon Yeow selepas pilihanraya akan datang.

Team Guan Eng dikatakan terguris kerana mereka sudah set hendak tonjolkan adiknya Lim Hui Ying untuk jawatan Ketua Menteri.

Steven Sim yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertaham dikatakan sudah ‘potong trip’ Hui Ying.

Apapun sumber DAP kata agak sukar untuk bawa nama Hui Ying bagi jawatan itu kerana Steven Sim terbukti jauh lebih popular.

Kali terakhir DAP mengadakan pemilihannya adalah pada 20 Mac 2022.

Pada pemilihan 2025, bilangan yang akan merebut kedudukan dalam CEC lebih rendah berbanding 93 ahli parti bertanding pada 2022.

Daripada 70 pemimpin yang tersenarai bertanding pada pemilihan kali ini, kebanyakannya mereka juga terdiri daripada kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta EXCO kerajaan negeri.

Selain Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke nama besar lain yang akan bertanding ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming,Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow,Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Seramai 15 pemimpin DAP wanita turut tersenarai bertanding bagi merebut sekurang-kurangnya sembilan kerusi yang dikhaskan untuk mereka, seiring pindaan baharu perlembagaan parti itu sebelum ini yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kepemimpinan tertinggi pusat.

Selain Menteri Belia dan Sukan, Hanna Yeoh; turut tersenarai bertanding adalah Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Bentong, Yong Syefura Othman; Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan Timbalan Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Nama lain tersenarai adalah Ahli Dewan Negara, Tiew Way Keng; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; bekas Ahli Parlimen Batu kawan, P Kasthuriraani; ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon serta ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze.

Enam pemimpin Melayu DAP juga tersenarai merebut 30 tempat dalam CEC iaitu, Pengerusi DAP Kelantan, Azaha Abdul Rani; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Young Syefura; ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji serta Supian Zaharin.

Pada pemilihan kali ini juga menyaksikan empat veteran DAP mengumumkan tidak bertanding dalam CEC kali ini iaitu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran; Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Bendahari DAP, Fong Kui Lun serta ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh.- OLEH HIEKAL ROSLI 15/3/2025

Read more

khabar terbaru