Sunday - 20, April 2025

Taklimat PMO : PM kecam perbuatan tampar bukan Islam

Share

“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan.

Itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden baru-baru ini yang menyaksikan seorang bukan Muslim ditampar kerana makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Anwar berkata perbuatan seperti itu perlu dihentikan segera.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah beritahu di taklimat PMO pada Rabu Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun.

Kenyataan Anwar dibuat tidak lama selepas warga emas berusia 65 tahun yang didakwa menampar seorang remaja bukan Islam di Johor, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Insiden berkenaan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada 3.45 petang, Ahad lepas.

Ekoran insiden itu wargaemas berkenaan,Abdul Razak Ismail, 65,awalnya mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 22, di kedai serbaneka pusat beli-belah itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun setelah fakta kes selesai dibacakan, Abdul Razak selaku Orang Kena Saman (OKS) tidak mengakui fakta tersebut.

Ini menyebabkan Majistret A Shaarmini memberitahu bahawa mahkamah tidak boleh menerima pengakuan salah yang bersyarat seperti itu.

Sebelum tarikh sebutan ditetapkan majistret, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan pihaknya menerima arahan terbaru agar OKS dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) supaya kes tersebut dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).- 19/3/2025

Read more

khabar terbaru