Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu tidak membincangkan mengenai Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, bagaimanapun berkata, masih ada masa sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan berhubung perkara terbabit.
“Masih ada masa tapi (isu BKK Aidilfitri) tak dibincangkan hari ini, kita belum nak beraya lagi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Minggu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan supaya menyalurkan BKK Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata pemberian BKK penting bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Menurut Adnan pihaknya berharap agar kerajaan meneruskan tradisi pemberian bantuan itu, yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.
“Kami memahami bahawa penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan. Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti-nantikan oleh penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan.
“Sambutan Aidilfitri sering kali melibatkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat,” katanya.
Selain itu, Adnan berkata apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi juga dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain..-19/3/2025