News

Company:

Sunday - 6, April 2025

Tempat menarik di Kelantan… Pasar Siti Khadijah

Share

Pasar Siti Khadijah cukup terkenal sebagai lokasi mesti singgah bagi pelancong yang berkunjung ke Kelantan.

Bagaimanapun bagi orang tempatan, ia bukan sahaja pasar basah membeli ikan dan sayur, ia juga lokasi mendapatkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.

Setiap kali Ramadan pula, kemeriahan Pasar Siti Khadijah berganda-ganda, kedai menjual kuih-muih dikerumuni pembeli malah mereka bukan saja datang dari Kota Bharu dan sekitarnya, tetapi juga ada yang sanggup memandu dari Terengganu dan Pahang.

Namakan apa sahaja jenis kuih, sama ada akok, tepung pelita, jala emas, tahi itik, bunga tanjung atau pulut bakar, semuanya ada di situ.

Malah, ramai juga pengunjung yang datang untuk membeli kuih yang hanya akan dijual pada bulan Ramadan saja, seperti nekbat dan ‘butir nako emas’, hidangan dipercayai disediakan menggunakan resipi istana Thailand.

Di hampir setiap premis jualan, terdapat lebih 100 jenis kuih-muih boleh dibeli sebagai hidangan berbuka puasa.

Setiap satunya unik dari segi tekstur, warna, bentuk dan tentu saja rasa, malah dengan harga berpatutan yang pasti mengamit selera.

Selain pilihan pelbagai aneka kuih-muih dan manisan tradisional, terdapat juga hidangan yang mempunyai pengaruh dan ciri-ciri negara jiran, Thailand, turut dijual antaranya puding atau kek berasaskan coklat atau keju.

Kuih-muih sebegitu biasanya menarik minat anak muda kerana rata-ratanya ia tular di media sosial.

Peniaga, Izzan Ariffin, 55, berkata beliau sudah menjaja kuih-muih tradisional di pasar itu sejak 30 tahun lalu dan mengakui sangat teruja setiap kali ketibaan Ramadan.

Katanya, berdasarkan pengalamannya, kedatangan pengunjung ke pasar itu akan bertambah antara dua ke tiga kali ganda setiap kali tiba Ramadan terutama pada minggu-minggu terakhir.

Izzan berkata secara umum terdapat lebih 20 peniaga kuih-muih di pasar itu dengan setiap kedai mula beroperasi seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang.

“Biasanya, pengunjung yang datang ke sini mahu mencari kuih-muih yang sukar ditemui di kedai-kedai biasa.

“Jadi, pasar ini adalah lokasi yang dituju sebab di sini terdapat banyak jenis kuih yang susah dijumpai di luar sana.

“Lagipun, semua kuih yang dijual di sini memang sedap belaka kerana ia dihasilkan oleh mereka yang memang cukup mahir dengan menu dan resipi manisan tradisional negeri ini,” katanya.-20/3/2025

Read more

khabar terbaru