Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan, setiap langkah yang diambil berkaitan pembinaan rumah ibadat di tanah milik syarikat swasta adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai tanpa sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum.
“DBKL telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
“Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil serta membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancarannya. DBKL juga memberi komitmen untuk tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil, dan kuil ini boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai,” katanya.
Datuk Seri Dr. Maimunah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di ibu negara.
Beliau turut berharap semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar serta menyeru masyarakat agar terus mengekalkan keharmonian dan menghormati kepelbagaian agama di negara ini.
Terdahulu, tular isu cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik syarikat swasta yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Tanah yang menjadi perhatian itu turut menempatkan sebahagian kecil kawasan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Difahamkan, projek berkenaan merupakan cadangan syarikat swasta selaku pemilik sah tanah tersebut dan bukan daripada pihak kerajaan.-20/3/2025