Sunday - 20, April 2025

Pengumuman diskaun tol sempena Aidilfitri… Menteri kata “Sabar…”

Share

Diskaun tol 50 peratus sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi, dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagaimanapun beliau tidak mendedahkan secara terperinci berkenaan pengumuman tersebut.

“Memang kita akan ada, sebab kita dah buat untuk Tahun Baharu Cina. Takkan kita tak buat untuk Aidilfitri, tunggu sebentar lagi, kami akan umum.

“Sabar, nanti kita balik kampung. Memang ada (pengumuman tol), kita buat macam Tahun Baharu Cina.

“Apa kita buat? 50 peratus, sabar sikit ya. Kita kena perhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kementerian Kerja Raya (KKR).

Diskaun tol 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini sebagai mekanisme menggantikan tol percuma yang diamalkan sebelum ini.

Alexander dilaporkan berkata, langkah itu akan menjimatkan kos terpaksa dibiayai kerajaan kepada syarikat konsesi kepada RM80 juta setahun berbanding RM180 juta sekiranya pemberian tol percuma.

Terdahulu pada Januari lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selepas tiada lagi tol percuma diberikan bermula tahun ini.

Berhubung lawatan Anwar hari ini, Alexander berkata, Perdana Menteri meluangkan masa lebih satu jam di KKR dan beliau turut bertemu wakil agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan.

“Lawatan Perdana Menteri ini supaya KKR boleh tingkatkan prestasi sebagai satu kementerian pelaksana yang sangat penting dalam negara, apa-apa sahaja pembangunan memang perlukan pembinaan sebagainya.

“Kita ambil maklum kehendak Perdana Menteri dan saranan beliau tak lain tak bukan memberi keutamaan kepada projek segera dan kos untuk bisnes supaya projek kita ada ‘value for money’ (bernilai dan tidak membazir),” katanya.-20/3/2025

Read more

khabar terbaru