News

Company:

Sunday - 6, April 2025

TIDAK BENAR…kerajaan bagi pampasan RM2 juta pada kuil…juga kes ini tidak boleh dijadikan rujukan kes akan datang

Share

Spekulasi yang hangat berlegar berkaitan pemberian pampasan kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk berpindah ke tapak baharu…nyata tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Rabu tampil menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan beri pampasan berjumlah RM2 juta kepada pihak kuil itu.

Spekulasi ini telah mencetuskan pelbagai sentimen negatif termasuk sindiran mengajak pihak lain ‘pacak’ rumah ibadat di mana mana tanah kosong kerana ia membolehkan mereka dapat tanah percuma dan wang pampasan untuk capai penyelesaian.

Dr Zaliha menegskan kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk berpindah ke tapak baharu.

Menurutnya dakwaan dilemparkan pengguna Facebook Firdaus Wong Wai Hung yang juga seorang pendakwah bebas itu tidak benar sama sekali dan tidak berasas.

Malah, beliau berkata, tiada sebarang perjanjian atau deal lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah diumumkan secara rasmi semalam.

“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.

“Yang paling utama, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

Serentak dengan itu Dr Zaliha turut menegaskan bahawa kes berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan atau precedent untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.

Menurut beliau, kes itu adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut yang ditangani dengan penuh hikmah mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.

“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini.

“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.

Semalam, Dr Zaliha memberitahu, pihak jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah ke tapak baharu berdekatan kawasan itu.

Katanya, tapak berkenaan terletak berhampiran kuil sedia ada dengan keluasan 4,000 kaki persegi.

Tapak terbabit adalah sebahagian daripada Lot PT95 Seksyen 40 Mukim Bandar Kuala Lumpur, namun Zaliha tidak memperincikan bila proses penempatan semula kuil itu akan dimulakan.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta yang mana di dalam turut ada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.- 26/3/2025

Read more

khabar terbaru