Monday - 14, April 2025

Banteras peniaga warga asing keutamaan DBKL tapi…

Share

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil langkah tegas untuk membanteras lambakan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram di Kuala Lumpur tapi dalam masa yang sama perlukan kerjasama peniaga tempatan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya bersama agensi penguat kuasa terlibat akan sentiasa bekerjasama bagi menangani isu tersebut.

Pada masa sama, beliau mahu peniaga tempatan bertanggungjawab dengan tidak menjual tapak atau lesen perniagaan kepada warga asing.

“Keutamaan kami, KPI (petunjuk prestasi utama) kami untuk membanteras warga asing. Saya juga ingin menyeru kepada peniaga-peniaga di sana, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan lesen, janganlah ‘alibabakan’. Itu pun satu masalah juga.

“Kita perlu ada kerjasama yang erat. Di antara peniaga tempatan, dengan orang ramai dan juga jabatan-jabatan dalaman kerjasama antara jabatan. Contohnya, polis, Imigresen. Kami mendapat sokongan yang erat di bawah KL, Program KL Strikeforce”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan laluan pejalan kaki berbumbung stesen LRT Taman Melati ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di ibu negara.

Sementara itu, infrastruktur awam di Kuala Lumpur terus diperkasa menerusi pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 350 meter yang menghubungkan Stesen LRT Taman Melati ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR) UMT.

Datuk Seri Dr Maimunah berkata, kemudahan itu memberi manfaat kepada orang ramai untuk berjalan dengan selamat dan selesa.

Ia sekali gus, menyokong matlamat Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL 2040) dan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040) ke arah bandar raya hijau dan mampan.

“Projek ini juga mempunyai elemen hijau, dimana tenaga solar dan juga berbumbung. Ini juga mengurangkan kesesakan lalu lintas dan juga memberikan keselesaan kepada para pelajar dan pengunjung daripada yang menggunakan LRT ke universiti dan juga orang lain.

“Ini juga selaras dengan pelan rendah karbon, pelan trafik dan juga fokus kita untuk tahun ini, tahun 2025… saya telah melancarkan pada awal tahun Januari, salah satu ialah Green Connector”, katanya.-10/4/2025

Read more

khabar terbaru