Ekoran dakwaan seorang perubatan swasta empat hari lalu bahawa Abang Belon yang cedera bergelut dengan penguat kuasa DBKL baru baru ini berisiko lumpuh kekal…Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis tampil beri amaran.
Menerusi satu kenyataan KKM memberi amaran bahawa pengamal perubatan tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam yang boleh mengelirukan atau membina salah tanggap orang awam, terutamanya yang boleh menjejaskan reputasi profesion perubatan.
Isnin lalu, Dr Mohd Hafidz Rizal dalam satu sidang media memberi gambaran betapa kecederaan Abang Belon iaitu Muhammad Za’imuddin Azlan dalam pergelutan di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur itu sebagai serius, berdasarkan laporan awal hospital.
Doktor yang pernah dipecat daripada PKR itu berkata T12 compression menyebabkan banyak komplikasi dan yang merisaukan apabila penjaja itu mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.
“Mana-mana pengamal perubatan yang didapati menyalahi tatacara amalan perubatan boleh diambil tindakan bawah Akta Perubatan 1971,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.
Menurut KKM pelanggaran kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta 50 adalah suatu kesalahan dan seorang pengamal perubatan yang didapati membuat kesalahan tersebut boleh digantung atau dibatalkan pendaftaran sebagai pengamal perubatan, termasuklah dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya jika disabitkan.
Semakan di pangkalan data Sistem Teknikal dan Maklumat Pendaftaran Perubatan (MeRITS) menyebut Hafidz mempunyai kelayakan sebagai MD (doktor perubatan).
Graduan Universiti Hasanuddin di Sulawesi Selatan, Indonesia itu didaftarkan secara penuh pada Feb 2021.
Sementara itu, KKM berkata Za’imuddin telah mendapat diagnosis dan rawatan yang diperlukan menurut protokol perubatan yang berkuat kuasa di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Kata KKM, janji temu seterusnya juga telah ditetapkan, dan dia boleh meneruskan rawatan yang ditentukan perlu dan wajar oleh pakar-pakar perubatan yang bertanggungjawab.
“Namun begitu, KKM ingin mengingatkan orang ramai bahawa hanya pengamal perubatan yang bertauliah boleh memberikan perhatian perubatan, diagnosis dan rawatan untuk apa-apa penyakit,” kata KKM.
Selain itu, KKM juga berkata kecederaan yang melibatkan tulang belakang dan saraf tunjang harus diperiksa dan dirawat oleh pakar otot rangka (ortopedik) dan pakar bedah saraf (neurosurgeri) bertauliah sahaja.
KKM juga mengeluarkan peringatan lain, iaitu:
Pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelayakan dan Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) yang sah, atau tidak berdaftar sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) bagi bidang kepakaran yang tertentu, tidak boleh beramal sebagai pengamal perubatan atau pakar perubatan dan memberikan apa-apa diagnosis atau rawatan ke atas mana-mana pesakit.
Bagi sektor swasta, tiada seorang pun boleh menubuhkan atau menyenggarakan mana-mana kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta tanpa kelulusan dan lesen, termasuklah mengendalikan atau menyediakan suatu klinik perubatan swasta tidak berdaftar.
KKM justeru menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang berautoriti.
“KKM juga akan terus memberikan perkhidmatan jagaan kesihatan terbaik kepada semua pihak yang memerlukan demi kesihatan dan kesejahteraan orang awam,” katanya.- 10/4/2025