Sebagaimana kita tahu bahawa bagi tujuan pelantikan hakim, terdapat sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan dengan nama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Judicial Appointment Commission). Suruhanjaya ini ditubuhkan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009. Fungsi suruhanjaya dijelaskan dalam Seksyen 21 Akta ini.
Saya abaikan dahulu persoalan kedudukan akta ini. Saya akan menghuraikan tentang fungsi suruhanjaya dalam kesempatan lain kerana perkara yang saya mahu sampaikan kepada pembaca dalam paparan ini adalah tentang kuasa dan peranan perdana menteri berkaitan pelantikan hakim sebagaimana diwujudkan dalam akta ini. Seksyen berkaitan kuasa perdana menteri terhadap badan kehakiman dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman boleh dilihat dalam tiga isi utama, iaitu:-
- Pelantikan dan Pembatalan
Ia merujuk kepada pelantikan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (seksyen 5 dan 9). Pada Seksyen 5, perdana menteri diberikan kuasa melantik anggota Suruhanjaya. Beliau boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat orang yang terkemuka, bukan anggota eksekutif atau perkhimatan awam.
Pelantikan empat orang terkemuka ini hanya boleh dibuat oleh perdana menteri setelah berunding dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan atau mana-mana badan berkaitan yang lain.
Mengenai pelantikan anggota suruhanjaya, perdana menteri tidak diberikan kuasa budi bicara. Beliau hendaklah berbincang atau mendapatkan pandangan (berunding) daripada pihak yang dinyatakan. Saya fikir prosedur ini adalah baik.
Mengenai pembatalan pelantikan anggota suruhanjaya daripada kalangan orang terkemuka, perdana menteri mempunyai kuasa penuh untuk membatalkan pelantikan tanpa berbincang dengan mana-mana pihak dan tidak perlu menyatakan apa-apa sebab berkenaan pembatalan tersebut. Hal ini dinyatakan dalam Seksyen 9.
Pada pandangan saya kuasa penuh perdana menteri ini boleh menimbulkan persoalan kepada kebebasan Suruhanjaya kerana ia membuka ruang kepada kritikan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ini tidak bebas.
- Kuasa Perdana Menteri dalam Proses Pemilihan Hakim
Bagi tujuan proses pemilihan hakim, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman membuat proses pemilihan. Setelah selesai proses pemilihan, suruhanjaya hendaklah mengemukakan laporan (dan disertakan dengan syor) kepada perdana menteri dengan menyatakan siapa yang dipilih dan memberikan alasan pemilihan serta menyampai apa-apa maklumat lain yang perlu diberitahu kepada perdana menteri. Setelah itu perdana menteri boleh meminta maklumat lanjut daripada Suruhanjaya sekiranya perlu. Hal ini dinyatakan bawah seksyen 27.
Setelah menerima syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berkenaan lantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan; perdana menteri boleh meminta dua lagi nama untuk dipilih dan disyorkan oleh suruhanjaya. Suruhanjaya hendaklah melaksanakan permintaan tersebut dengan seberapa segera. Hal ini dinyatakan dalam Seksyen 27.
Tiada peluang kedua untuk perdana menteri meminta nama atau nama-nama lain. Agak terhad juga kuasa perdana menteri dalam hal ini. Hanya dua nama sahaja yang boleh diminta oleh perdana menteri. Menurut Seksyen 28, perdana menteri seterusnya boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut keperluan rundingan seperti dinyatakan dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Mungkin saya perlu nyatakan bahawa mengenai soal ini (permintaan oleh perdana menteri) suruhanjaya perlu tegas mematuhi peruntukan undang-undang sekiranya diminta berulang kali oleh perdana menteri. Peruntukan akta ini hendaklah ditaati sepenuhnya oleh semua pihak.
- Peraturan oleh Perdana Menteri
Perdana menteri boleh membuat peraturan bagi maksud peruntukan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menurut syor dibuat oleh suruhanjaya. Hal ini dinyatakan dalam Seksyen 30. Ke semua tiga perkara dinyatakan di atas adalah berkaitan peranan dan kuasa perdana menteri dalam hal ehwal kehakiman.
Perlu juga saya jelaskan tentang peruntukan Sekyen 34 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Seksyen ini menyatakan bahawa tiada mana-mana orang yang mempengaruhi atau cuba mempengaruhi keputusan suruhanjaya atau anggota suruhanjaya boleh didakwa dan sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan bagi kesalahan bawah Seksyen 34 hanya boleh dimulakan dengan keizinan pendakwa raya. Sebagai pengakhir, adalah juga menjadi peranan perdana menteri dan pihak kerajaan umumnya, untuk menjamin kebebasan kehakiman. Usaha bagi menjamin kebebasan kehakiman tersebut hendaklah dizahirkan dengan jelas kepada khalayak.
Bagi khalayak pula, mereka hendaklah sentiasa memberikan nasihat atau pendapat melalui saluran yang dibenarkan oleh undang-undang negara tentang jaminan kebebasan kehakiman ini. Saya berharap menerusi artikel ini dapat memberikan penjelasan tentang kuasa dan peranan perdana menteri berkaitan badan kehakiman, seterusnya menjadi panduan kepada kefahaman kita semua.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz
Pakar Perlembagaan