Nampaknya isu ini setakat riuh ‘kedai kopi’ saja.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya dakwaan ‘sentiasa kena intip dan dipantau’ yang disuarakan oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar bukan sesuatu yang luar biasa.
Mengulas kenyataan Naib Presiden PAS itu pada Khamis semalam dikenakan pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sehingga panggilan telefonnya dipintas,beliau menjelaskan semua orang kenamaan (VIP) di negara ini berada bawah pemantauan TCO.
“Saya pun ada (TCO), semua VIP pun ada,” katanya.
Anwar ditemui wartawan selepas program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak pagi Jumaat.
Ahmad Shamsuri mendakwa pengawasan dan pemantauan itu menjadikan dirinya merasa seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi yang ditemui wartawan di Kuantan berpendapat ada kemungkinan Menteri Besar Terengganu membuat dakwaan itu untu merah simpati menjelang Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning diTapah Perak.
Menurutnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah pun menjelaskan hal itu.
“Menteri Dalam Negeri sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa tidak ada (pintasan telefon, pengawasan), jadi kenapa perkara ini perlu (timbul)?
“Mungkin dia (Ahmad Samsuri) nak memohon simpati sebab (PRK) Ayer Kuning,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengulas isu berkenaan dilapor menegaskan tiada keperluan meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Malah, katanya, istilah yang digunakan oleh Samsuri iaitu kawalan perjalanan Perjalanan (TCO) juga tidak tepat kerana ia adalah jawatan pegawai polis cawangan (SB) yang bertugas di pintu keluar masuk negara.
“TCO adalah travel control officer yang bertugas di pintu keluar masuk negara sama ada di lapangan terbang atau di Bukit Kayu Hitam yang mempunyai tugasan tertentu.
“Mungkin apa yang dimaksudkan Samsuri itu adalah SPK tetapi nama beliau tidak ada dalam senarai kerana dia bukan penjenayah atau suspek,’’ katanya.
Razarudin memberitahu, nama yang ada dalam SPK adalah suspek bagi kes tertentu termasuk jenayah (CID), narkotik atau individu yang terbabit dalam kes 3R yang melarikan diri keluar negara yang perlu ditangkap jika mereka memasuki negara ini.
Malah, katanya, jawatan Samsuri sebagai seorang Menteri Besar yang turut memerlukan perlindungan serta kawalan keselamatan pegawai pengiring yang terdiri daripada pihak polis sendiri maka secara tidak langsung semua pergerakannya diketahui. – 11/4/2025
MB Terengganu dakwa sentiasa dipantau…Menteri KDN Saifuddin jawab
Bunyinya macam siri filem James Bond 007.
Ini bila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dakwa beliau sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa seolah-olah dirinya seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis Naib Presiden PAS itu juga dakwa telefonnya dipintas dan dirinya diekori ke mana saja beliau pergi walaupun atas urusan peribadi.
Beliau juga mendakwa dirinya dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Dakwanya situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini (kerana) ia bukan sekadar label tetapi saya di “tahan” dan dibawa ke tepi.
“Satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga 2024,” kata Menteri Besar itu.
Ahmad Samsuri mendakwa, status itu membolehkan segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.
Katanya, ia dilaksanakan atas nama “untuk keselamatan negara” atau “untuk kestabilan politik” tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu.
“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya bualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya.
“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.
Ahmad Samsuri mendakwa, pihaknya tidak perlu mempunyai kemahiran dalam membuat risikan balas untuk mengenal pasti anasir yang memantau pergerakannya, kerana kehadiran operatif dan elemen mereka ketika ini sangat ketara, selain mudah dikenal pasti berdasarkan pemilihan kenderaan yang digunakan, kereta statik, cara komunikasi, pejalan kaki (spotter) dan sebagainya.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan mengulas dakwaan berkenaan berkata Ahmad Samsuri harus sedar bahawa sebagai menteri besar, beliau mendapat kawalan keselamatan pada setiap masa, dan sebarang ‘pengawasan’ tambahan tidak diperlukan.
“Sebagai menteri besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa. Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya.
“Saya sendiri pernah tersenarai (untuk pengawasan) pada 2000-2004. Saya anggap ini sebahagian tugasan pihak berkuasa,” katanya.
“Saya beri kerjasama penuh dan hormat tugasan mereka. Sehingga suatu tempoh, nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut.”
Beliau berkata, semua VVIP dalam negara ini juga sentiasa diawasi untuk tujuan keselamatan, dengan Shamsuri tidak terkecuali.
“Dan sementara VVIP yang lain faham keadaan ini, Shamsuri memilih utk jadikan isu,” kata Saifuddin.
Berhubung dakwaan telefon Ahmad Samsuri dipintas, beliau berkata: “Itu tanggapan beliau .. walhal tiada apa-apa keperluan.” – 10/4/2025