Wednesday - 16, April 2025

Berehatlah Pak Lah, jasamu membumi – Anwar

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau nostalgia bersama Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah kembali ke rahmatullah.

Mendedikasikan sebuah video berdurasi hampir seminit, memaparkan gambar kedua-dua tokoh itu, berlatarkan lagu “Pergi” oleh Aizat Amdan di akaun media sosial beliau, dengan kapsyen: “Susuk Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara.

“Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” menurut hantaran itu.

Setakat 10 malam Selasa, hantaran itu menerima 43,700 ‘like’ dengan lebih 492,000 tontonan di Instagram dan 23,500 ‘like’ di Facebook.

Hantaran itu turut menerima komen bekas menteri Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada Tun Abdullah, yang menzahirkan penghargaan atas ingatan kepada Allahyarham.

“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Datuk Seri (Anwar) kepada ayahanda Pak Lah.

“Penghargaan jua kepada Datuk Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negarawan yang lain,” katanya.

Allahyarham selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara pada kira-kira 2.30 petang semalam.

Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.

– Bernama -15/4/2025

Selamat jalan, Pak Lah…

Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga Perdana Menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali menemui ilahi.

Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.

Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai.

Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.

Namun lebih dari segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.

Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.

Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau.

Selamat jalan, Pak Lah. – 14/4/2025

Pak Lah sudah tiada…

AL-FATIHAH…Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Lah’ meninggal dunia pada jam 7:10 malam Isnin di di Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas Perdana Menteri kelima itu berusia 85 tahun.

Berita sedih itu diumum oleh menantu Allahyarham yakni Khairy Jamaluddin.

Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Allahyarham memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang pentadbirannya, Abdullah memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan menekankan pembangunan modal insan serta integriti dalam pentadbiran.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Abdullah berkhidmat dalam pelbagai portfolio termasuk Menteri Luar dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Abdullah meninggalkan seorang isteri, Jeanne Abdullah dan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Allahyarhamah Endon Mahmood.

Anak perempuannya, Nori Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Khairy.- 14/4/2025

Read more

khabar terbaru