Wednesday - 16, April 2025

Tun Abdullah laksana berbagai program berimpak tinggi termasuk Islam Hadhari dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

Share

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam ini.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata Allahyarham mengemudi perubahan pada ketika Malaysia menyaksikan peralihan pucuk kepimpinan setelah sekian lama.

Beliau berkata pentadbiran Abdullah telah menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk konsep Islam Hadhari dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Jasa dan bakti Allahyarham Tun akan sentiasa dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi dan diri saya sendiri, takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham Tun, dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin,” katanya.

Fahmi juga mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam berdepan kehilangan ini.

Turut menzahirkan ucapan takziah, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi waktu yang sukar ini.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi saat yang penuh hiba ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam catatan di Facebook.

Turut mengucapkan takziah, Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohammad Sabu berkata bekas Perdana Menteri berkenaan telah mencurahkan khidmat bakti yang tidak ternilai kepada tanah air, khususnya memimpin negara dengan pendekatan berhemah, bersederhana dan penuh kebijaksanaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula menyifatkan Abdullah sebagai tokoh negarawan yang memimpin negara dengan penuh hemah, kasih sayang dan nilai kemanusiaan.

“Tatkala politik sedang bergelora, beliau tampil sebagai suara pendamai yang menyejukkan, dihormati oleh semua tanpa mengira perbezaan.

“Pendekatan Islam Hadhari yang beliau bawa membina jambatan antara kemajuan dan nilai. Keperibadiannya sentiasa lembut, tidak membalas dengan caci, tidak meninggi suara malah sentiasa memilih untuk menenangkan keadaan,” katanya.

Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di IJN pada 7.10 malam dan perkara itu disahkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.-15/4/2025

Read more

khabar terbaru